31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan Malaysia. Hari ini adalah hari penting yang menandakan kebebasan negara kita daripada penjajahan untuk menjadi suatu negara yang merdeka. Hari yang penuh sukacita kerana negara kita akhirnya dapat menentukan masa depan dan identiti tersendirinya.
Pada Hari Kemerdekaan Malaysia ini, kita perlu mengingati bahawa kebebasan kita ini harus dipelihara. Kita harus mengelakkan mana-mana kuasa memperhambakan kita. Kuasa-kuasa seperti kebencian, ketidakharmonian, perpecahan, keangkuhan, ketakutan, ketamakan, kemiskinan, dsb., boleh menghindari kita daripada menjadi sebuah negara yang makmur dan maju. Kemerdekaan kita tidak sama sekali bermaksud bahawa kita tidak memerlukan orang lain untuk menolong kita. Tiada satu pun negara yang dapat menikmati kemakmuran tanpa damai sejahtera, tanpa saling menghormati, tanpa belas kasihan dan kemaafan terhadap satu sama lain. Kemerdekaan kita bermaksud bahawa kita perlu hidup saling bergantung untuk berkembang sebagai sebuah negara.
Saya berharap Malaysia dapat mengekalkan hubungan yang saling bergantung dengan saling menghormati antara pelbagai kaum, etnik, agama dan masyarakat. Kita memerlukan satu sama lain. Tanpa yang lain, kita tidak lengkap sebagai sebuah negara. Saya berdoa agar Gereja di Malaysia menjadi teladan bagi seluruh rakyat Malaysia dengan menunjukkan kasih, kehormatan, nilai murni dan belas kasihan untuk sesama rakyat, kerana kita semua diciptakan dengan penuh dahsyat dan ajaib menurut gambar Allah.
Bagi pihak Provinsi Gereja Anglikan di Asia Tenggara, saya bersama bisyop-bisyop lain Provinsi kita ingin berkata kepada Malaysia: selamat Hari Merdeka! Semoga sentosa, damai sejahtera dan kasih karunia Allah berserta dengan kamu, Malaysia!
Dalam Pelayanan Kristus,
Most Rev. Datuk Melter Jiki Tais
Primat Gereja Anglikan di Asia Tenggara
Bisyop Sabah