Right Reverend Yong Ping Chung telah melayani sepenuh masa di Diosis Anglikan Sabah selama 37 tahun, bermula pada tahun 1969. Beliau telah berkhidmat sebagai seorang paderi, archdeakon dan akhirnya sebagai Bisyop Sabah untuk 16 tahun (1990-2006). Beliau juga dipilih sebagai Archbisyop Provinsi Asia Tenggara yang kedua (2000-2006). Tahun ini menandakan 51 tahun sejak beliau ditahbis, dan beliau masih membantu dengan berkhotbah dan melakukan penetapan di Diosis kita. Dalam bahagian pertama temu ramah ini di rumah beliau di Kota Kinabalu, beliau berkongsi tentang penglibatan beliau dalam Majlis Perundingan Anglikan antarabangsa (ACC), pemilihan beliau sebagai Bisyop Sabah, serta sukacita dan dugaan yang beliau alami sewaktu melayani sebagai bisyop sebuah diosis yang bukan sahaja sering mengalami kekurangan sumber, malah mempunyai jemaat yang majmuk dari segi teologi dan latar belakang.
Selain penglibatan anda dalam Diosis Sabah, betulkah anda juga banyak terlibat di peringkat global, contohnya dengan Majlis Perundingan Anglikan (ACC)?
Oh, saya rasa yang itu boleh dikatakan satu kebetulan. [ketawa] Tidak lama selepas saya pulang, saya mewakili diosis kita di Majlis Gereja Asia Timur (CCEA). Di mesyuarat CCEA saya telah dipilih untuk mewakili mereka di ACC. Di ACC pula, saya rasa saya lebih lantang sedikit kalau dibanding dengan ahli-ahli yang tidak fasih dalam Bahasa Inggeris dan oleh itu jarang bersuara. Oleh itu, saya dipilih untuk Jawatankuasa Tetap ACC, dan selepas itu sebagai Pengerusi ACC.
Berapa lama anda melayani sebagai pengerusi ACC dan apakah tugas anda?
Pengerusi selalunya dipilih untuk dua penggal, jadi sekitar enam sehingga lapan tahun. Tugas saya termasuklah menyertai mesyuarat jawatankuasa tetap dan pergi ke England untuk bertemu dengan Archbisyop Canterbury. Matlamat ACC adalah untuk perundingan, supaya kepimpinan Anglikan sedunia boleh tahu apa yang sedang berlaku di akar umbi di seluruh dunia.
Ah, begitulah. Tidak lama kemudian anda menjadi Bisyop Sabah?
Ya, pada tahun 1990.
Apabila anda menjadi Bisyop, apakah perasaan anda ketika diberi tanggungjawab yang besar ini?
Pada masa tersebut saya sudah melayani di diosis untuk tempoh yang lama, jadi saya boleh dikatakan paderi yang paling berpengalaman, kerana saya biasa ke pedalaman dan tempat-tempat lain. Jadi apabila tibalah masa untuk pelantikan bisyop yang baru, wakil diosis telah bertemu dan memilih calon-calon. Mereka yang membuat keputusan berasa saya yang patut memikul tanggungjawab tersebut. Saya berfikir, “Okay, kalau inilah kehendak Allah, saya harus menerimanya.” Perkara yang indah adalah Allah sudah berjanji bahawa kasih karunia-Nya adalah mencukupi. Jadi semua ini bukanlah terpulang kepada saya, tetapi kasih karunia Allah. Tuhan tidak menjanjikan kejayaan. Dia berkata, “Cukuplah kasih karunia-Ku.” Dan maksud-Nya ialah, “Ikutlah kasih karunia-Ku.”
Apakah cabaran yang dihadapi oleh Bisyop Sabah?
Bisyop [Luke] Chhoa telah melayani sebagai Bisyop Sabah selama 17 tahun. Saya pula selama 16 tahun. Masa ini boleh dikatakan sukar untuk diosis kita. Kami kekurangan paderi dan dana. Namun demikian, syukurlah dari awal lagi kami telah mengajar tentang persepuluhan dan bahawa pelayanan adalah milik jemaat, jadi sokongan perlu datang daripada jemaat. Sokongan di sini bermaksud tenaga kerja dan wang. Prinsip kami adalah untuk menggunakan apa yang kami ada sahaja. Banyak diosis luar negara yang bergantung kepada sokongan agensi misi di England, Amerika, Australia dan sebagainya. Tetapi bagi kami, program dan aktiviti kami disesuaikan kepada sumber yang kami ada. Jika kami perlu mengumpul dana, kami kumpul daripada jemaat kami sendiri.
Ini satu polisi yang amat baik tetapi juga amat radikal, kerana adalah lebih senang untuk bergantung kepada sokongan wang daripada agensi misi.
Ya, jika anda bergantung kepada sokongan dari luar, anda di zon selesa. Sekian lama paderi kami datang dari luar, dan kami tidak perlu membiayai mereka. Jika kami perlu seorang paderi, kami tulis surat kepada USPG atau CMS. Tiga bulan selepas itu, datanglah seorang paderi. Kami menikmati hasil usaha mereka tetapi organisasi misilah yang membayar gaji mereka. Saya rasa itu amalan yang tidak berapa betul. Jadi kami ingin berdikari dari segi kewangan.
Baguslah begitu. Memandangkan anda telah menyentuh tentang program-program and usaha diosis, bolehkah anda berkongsi sedikit tentang Misi 113?
Misi 113 adalah satu strategi misi yang telah kami mulakan sewaktu saya menjadi bisyop. Setiap orang percaya harus menginjil seorang untuk percaya kepada Tuhan setiap tiga tahun. Selama tiga tahun tersebut anda akan bertanggungjawab untuk seorang Kristian yang baru, sehingga mereka dapat berjalan sendiri. Teorinya adalah begini: jika jemaat kami boleh menunaikan usaha ini, kehadiran kami akan meningkat dua kali ganda setiap tiga tahun. Walaupun akhirnya pertumbuhan kami tidak secepat yang disasarkan, namun kami dapat menggandakan kehadiran kami selepas 10 tahun, dari 9,000 orang ke 18,000 orang.
Pada masa inilah kami mula mencatat kehadiran dan bukan bilangan ahli paroki yang berdaftar. Ini kerana ada ramai yang berkata mereka seorang jemaat Anglikan—mereka yang telah dibaptiskan dan ditetapkan—tetapi mereka tidak hidup sebagai seorang Kristian.
Itu memang benar. Setahu saya satu perkembangan sewaktu anda Bisyop adalah pertumbuhan Kebangkitan Karimastik di dalam Diosis kita?
Ya betul, walaupun pada masa itu Gerakan Karismatik bertumbuh di seluruh Sabah, bukan di dalam Gereja Anglikan sahaja. Kami telah menekankan pendekatan Alkitabiah. Peraturan mudah kami adalah: jika anda boleh menemui sesuatu di dalam Alkitab, anda boleh mengamalkannya. Tetapi jika anda tidak boleh menemuinya dalam Alkitab, anda tidak boleh mengamalkannya. Tujuan kami bukan untuk bertindak secara tegar, tetapi untuk memberi kebebasan kepada jemaat untuk membuat apa yang mereka rasa boleh membantu mereka bertumbuh dari segi rohani.
Bolehkah kita kata bahawa Gerakan Karismatik sudah berdiintegrasi dengan baik ke dalam kehidupan Diosis kita?
Ya, saya rasa kita telah menyerapnya. Namun demikian, pada masa tersebut ada beberapa paderi kita yang telah meninggalkan kami dengan berkata, “Kami orang Karismatik. Gereja Anglikan sudah mati.” Kami telah cuba memujuk mereka dengan berkata, “Jika anda rasa Gerakan Karismatik adalah sesuatu yang baik, bolehkah anda cuba membantu Diosis bertumbuh dalam segi ini?” Jadi ada di antara mereka yang telah kekal dengan kami, walaupun ada juga yang telah meninggalkan kami.
Adakah anda kecewa apabila mereka meninggalkan Diosis kita?
Ya, memang. Saya memang kecewa kerana mereka paderi yang amat baik, dengan inisiatif dan semangat. Tetapi sejak mereka tinggalkan kami mereka sebenarnya agak berjaya dalam pelayanan mereka masing-masing. Saya gembira kerana sememangnya pertumbuhan Kerajaan Allah dan bukan Diosis Sabah yang paling penting.
Sewaktu kehidupan dan pelayanan anda yang lama, anda telah mengalami pelbagai perubahan dalam diosis kita. Contohnya, dari segi tradisi gereja, pada mulanya para misionaris SPG adalah “High Church.” Misionaris CMS pula datang dengan tradisi evangelikal, dan sejak tahun 1980-an ramai pelajar teologi Diosis telah ke seminari Evangelikal. Selepas itu Gerakan Karismatik telah semakin berpengaruh. Adakah anda berasa Diosis telah mendapat manfaat daripada semua tradisi ini bergabung bersama?
Saya rasa kita telah dapat bergabung bersama dan bertoleransi antara satu sama lain dengan kesedaran bahawa setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Saya berpendapat bahawa menggalakkan toleransi dan penerimaan antara satu sama lain adalah sesuatu yang baik, kerana kita sebuah keluarga. Ahli-ahli sebuah keluarga selalunya amat berbeza. Pada pandangan saya, situasi diosis kita hari ini adalah hasil daripada usaha kita yang prihatin untuk menggalakkan penerimaan yang luas antara satu sama lain. Malah dalam Majlis Gereja-gereja Sabah kita juga cuba untuk menggalakkan gereja-gereja untuk saling menerima satu sama lain dan bekerjasama. Kita sebagai Anglikan boleh dikatakan sebagai “jalan tengah.” Sesuatu yang amat menarik adalah apabila kita ada mesyuarat antara gereja-gereja, jika kita perlu meraikan Perjamuan Suci, mereka selalu meminta kita untuk melakukannya.
Memandangkan pelbagai perubahan yang sering muncul, apakah yang kita kehilangan daripada zaman dahulu yang anda menyesal tidak dapat dipeliharakan?
Apabila saya mula-mula pulang ke katedral, terdapat amalan “tradisi lama” iaitu kebaktian Sembahyang Pagi dan Sembahyang Petang setiap hari, dan kita juga adakan Perjamuan Suci sekali dalam pertengahan minggu. Kalau saya tidak salah ini tidak diamalkan lagi. Saya rasa ini adalah satu kehilangan. Pada masa kini kita menggalakkan renungan harian bebas dan mengikut cara sendiri. Sedihnya kebebasan ini boleh menjadi satu amalan untuk tidak membuat apa-apa renungan pun.
Dalam bahagian seterusnya, iaitu bahagian akhir temu ramah ini, Bisyop Yong Ping Chung berkongsi sedikit tentang pengalaman paling manis dan pahit sewaktu melayani sebagai Bisyop Sabah dan Bisyop Agung Asia Tenggara, serta kata-kata nasihat beliau bagi mereka yang berasa panggilan Tuhan untuk melayani-Nya sepenuh masa.