Diutus dari Brisbane, Australia ke Tengah-tengah Sabah: Temu Ramah Bersama Ibu Suria Jeanes (Bahagian 1)

Pastor Sylvia Jeanes (juga dikenali sebagai “Ibu Suria”) telah dihantar ke Sabah sebagai guru misionaris oleh Persatuan Misionaris Gereja Australia (CMS-A) pada tahun 1967. Beliau telah melayani dengan setia selama 51 tahun yang lalu sebagai seorang guru, pengetua, pastor, pekerja paroki, pelatih randah, pensyarah seminari dan sekarang sebagai guru besar sekolah untuk kanak-kanak migran yang tidak mempunyai hak untuk pergi ke sekolah awam. Dalam bahagian pertama temu ramah ini bersamanya di Pelangi Harapan (Rainbow of Hope), sekolahnya di Kota Kinabalu, beliau bercerita tentang zaman kanak-kanaknya dan bagaimana beliau telah menjadi seorang Kristian, serta bagaimana beliau telah menyahut panggilan menjadi misionaris di negara asing dan diutus oleh Tuhan ke Tongud di tengah-tengah Sabah.

Q: Boleh kamu berkongsi sedikit tentang zaman kanak-kanak kamu di Australia?

Saya telah lahir pada 2hb Mei 1941. Bapa saya seorang pemandu lori dan ibu saya seorang suri rumah. Saya tidak datang daripada keluarga yang kaya atau berpelajaran tinggi, tetapi keluarga yang biasa-biasa. Ibu saya telah melahirkan 5 anak dalam tempoh 7 tahun, dan dia telah menjaga kami tanpa bantuan luar. Saya telah pergi ke sekolah rendah dan sekolah menengah di Brisbane, Australia. Zaman kanak-kanak saya boleh dikatakan bahagia, kerana ibu bapa saya tetap bersama dan kami telah tinggal serumah. Pada musim Krismas, kami telah naik lori bapa saya untuk pergi berkhemah. Namun demikian, oleh sebab kenakalan saya, sekali sekala saya akan berbuat perkara yang salah seperti mencuri dari ibu saya atau memukul adik lelaki saya. Bapa saya akan membalas dengan membelasah saya. Saya seorang sahaja yang dibelasah begitu teruk, tetapi saya okay sahaja.

Q: Bagaimana pengalaman kamu waktu sekolah?

Selepas saya habis sekolah rendah, saya telah pergi ke sekolah menengah komersial di mana saya telah belajar menaip, stenografi dan perakaunan. Inilah kali pertama seorang daripada keluarga saya telah ke sekolah menengah. Saya telah tamat pengajian saya selepas Sijil Rendah, iaitu seperti habis Tingkatan 3. Ibu bapa saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk saya bekerja, dan saya pun bersetuju.

Q: Kerja apa yang kamu mula buat?

Apabila saya ke pejabat pos suatu hari, saya telah melihat iklan di tingkap yang mengundang  permohonan untuk jawatan operator telefon. Gaji yang ditawarkan adalah 7 pound 8 pence seminggu. Wow! Jika saya bekerja di pejabat biasa, saya akan hanya dibayar 4 pound 10 syiling seminggu, jadi saya terus memohon jawatan itu. 100 orang telah membuat permohonan, jadi kami semua telah diberi ujian. Saya di antara sepuluh orang yang lulus dengan markah tertinggi, bersama kawan-kawan lain, termasuklah si Marjorie.

Marjorie sebenarnya akan dibaptiskan pada bulan Mei tahun berikutnya di sebuah gereja Baptis. Saya telah pergi ke sekolah minggu Baptis sewaktu saya muda, jadi saya mempunyai sedikit nostalgia untuk Gereja Baptis. Jadi saya berkata, “Ya, saya akan datang.” Kami telah pergi bersama seorang kawan lagi. Kami telah sampai awal, dan oleh itu pastor telah bertanya, “Adakah kamu ingin datang ke persekutuan doa?” Saya tidak tahu apa-apa mengenai persekutuan doa, tetapi kawan saya yang satu lagi telah berkata, “Kami harus pergi untuk si Marjorie.” Jadi saya menjawab, “Okay.” Tuhan telah menyentuh hati saya sewaktu persekutuan doa tersebut. Semua orang telah berdoa secara spontan—saya tidak pernah melihat orang berdoa secara spontan sebelum itu. Roh saya juga tersentuh, jadi saya telah berdiri dan berdoa secara spontan untuk Marjorie, supaya Tuhan akan memberkatinya semasa dia menyeberangi air pembaptisan.

Q: Wow. Jadi masa itulah kamu telah menjadi seorang Kristian.

Itulah detik permulaannya. Ia seperti Tuhan menjemput saya ke dalam hadiratNya, lepas itu datang ke dalam hidup saya dan berkata, “Kamu milik Aku. Ikutlah Aku.” Saya tidak ingat apa-apa penyampaian Injil atau respon. Apa yang saya ingat adalah kemesraan persekutuan tersebut yang mengundang saya untuk masuk, dan saya betul-betul menyukainya. Apabila saya telah pulang ke rumah malam itu, saya sudah diubah. Saya telah disentuh oleh kasih orang-orang ini, dan saya tidak pernah berpaling sejak hari itu.

Seperti saya kata tadi, saya telah mula bekerja di pusat pertukaran telefon, menyambung panggilan. Penyelia di sana adalah seorang wanita bernama Rose Tytherleigh. Rose pernah menjadi seorang misionaris Baptis di Kepulauan Solomon bersama dengan rakannya Ruth James yang pernah menjadi misionaris di Jepun. Dua orang inilah ikon saya. Rose telah memuridkan saya pada zaman awal itu, sewaktu setengah jam di antara penghabisan shift saya pada pukul 9 malam dan shift dia pada pukul 9.30. Dia telah mengajar saya bagaimana untuk berdoa dan mengikuti Kelas Alkitab Radio. Dia juga mendapatkan buku-buku kecil untuk saya baca.

Gladys Aylward

Q: Bagaimana perjalanan iman kamu selepas itu?

Kawan saya seorang Baptis, tetapi dia telah jatuh cinta dengan seorang pegawai polis Anglikan yang juga seorang ahli Liga Belia Persatuan Misionaris Gereja (Church Missionary Society League of Youth). Sebelum itu, kawan saya telah bergiat dalam Persekutuan Misionaris Luar Negeri (Overseas Missionary Fellowship). Saya telah mengikuti mesyuarat (OMF dulu, dan di situlah saya telah menerima panggilan. Seorang pengkhotbah telah berseru, “Berjuta-juta orang Cina sedang mati tanpa mengenal Yesus. Siapalah yang akan pergi?” Dan saya ingat lagi saya telah mengangkat tangan saya dan berkata, “Saya akan pergi.” Pada masa itu saya sangat tertarik kepada negara Cina, akibat menerima ilham daripada Isobel Kuhn dan Gladys Aylward yang telah menjadi misionaris di sana. Saya telah membaca biografi mereka dengan penuh minat.

Q: Apakah reaksi keluarga kamu?

Keluarga saya ingat saya sudah gila. Bagi mereka, tiada masalah untuk pergi ke gereja, tetapi kenapa saya ingin menjadi seorang fanatik dan membuang nyawa saya untuk pergi ke luar negeri untuk menginjil dan sebagainya? Bagi saya, saya tidak membuang nyawa saya, tetapi memperoleh segala-galanya. Bagi saya, inilah jalan ke hadapan. Pada masa itu saya mempunyai seorang teman lelaki, dan kami juga berfikir untuk berkahwin walaupun kami masih remaja lagi. Tetapi saya mula berasa bahawa tidak mungkin hidup ini hanya untuk berkahwin. Jadi saya telah memberitahu teman lelaki saya, “Saya belum mahu kahwin.” Oleh itu, dia telah mencari gadis lain dan telah mengahwininya pula.

Q: Wah. Apa yang telah berlaku selepas itu?

Saya telah dinaik pangkat selepas lulus satu ujian dan telah berpindah untuk bekerja di bahagian kastam. Tetapi saya berasa saya mesti melakukan lebih lagi, jadi saya telah menyertai kelas malam. Mereka telah tanya saya apa yang saya nak buat. Saya berfikir kepada diri sendiri, “Apa yang boleh saya buat di luar negeri memandangkan saya kurang berpelajaran dan datang daripada keluarga miskin?” Jadi saya menjawab, “Saya nak menjadi seorang guru.” Saya mendapat mukjizat dan telah lulus semua subjek, bahkan telah mendapat biasiswa untuk pergi ke maktab perguruan tahun berikutnya. Bagi saya ini betul-betul mukjizat kerana orang yang berasal daripada keluarga miskin seperti saya tidak berfikir untuk pergi ke maktab perguruan dan menjadi cikgu. Kami orang bawahan, kami kelas pekerja.

Q: Apa reaksi keluarga kamu?

Saya telah pergi ke pejabat pos bersama bapa saya untuk mengambil keputusan peperiksaan dan tawaran untuk ke maktab perguruan. Apabila saya keluar saya berkata, “Papa, saya dapat…” “Kamu betul-betul bodoh,” katanya. Itulah kecaman yang dia beri. Dia tidak berkata, “Wah, bagus, tahniah!” Jadi saya tidak disokong oleh keluarga saya.

Adik lelaki saya waktu itu bekerja di pawagam. Dia telah memberitahu kami bahawa filem The Inn of the Sixth Happiness sedang ditayangkan—cerita Gladys Aylward di China. Untuk kali yang pertama dan terakhir yang saya ingat, kami sekeluarga telah ke pawagam bersama-sama. Apabila wayang itu habis, bapa saya bertanya, “Kamu masih nak jadi misionaris?” “Ya, Papa, lebih lagi,” saya menjawab. Dia membalas, “Kamu betul-betul bodoh. Kamu nak mengorbankan nyawa kamu seperti wanita itu? Tidaklah kamu lihat bom-bom itu, segala kemusnahan itu?” Tetapi saya menjawab, “Ya, Papa, lebih lagi saya mahu pergi.” Mereka berpendapat memang gila untuk saya membuang nyawa saya, pergi begitu jauh ke luar negara. Hanya saya yang tahu saya telah membuat keputusan yang betul. Saya yakin seratus peratus sepanjang masa itu bahawa segala sesuatu yang terjadi adalah perbuatan Tuhan, kehendak Tuhan untuk saya.

Q: Jadi kamu telah pergi ke maktab itu?

Ya, ke maktab itu, dan selepas saya habis saya perlu mendapat pengalaman sebelum CMS dapat menerima saya sebagai misionaris. Seluruh latihan saya untuk datang ke Sabah telah mengambil masa 9 1/2 tahun dari detik saya diterima untuk masuk maktab perguruan. Dari tahun 1961-1964, saya telah mengajar di semua sebuah sekolah rendah separuh desa. Infrakstuktur di sana memang kurang—tak cukup bilik darjah pun. Saya sebenarnya ingin mengajar murid-murid yang lebih besar, tetapi Guru Besar telah memberi saya tanggungjawab untuk mengendalikan Darjah 1.

Saya mempunyai 48 pelajar, dan telah berkongsi satu-satunya bilik darjah yang kami ada untuk Darjah 1. 96 pelajar dalam satu bilik darjah. Guru wanita yang satu lagi berpengalaman, tetapi dia telah jatuh sakit. Jadi saya terpaksa mengajar 96 pelajar. Sewaktu 3 minggu pertama saya ingat saya akan jadi gila. Saya akan m embawa satu kelas keluar untuk duduk di atas simen dengan papan batu. Pelajar-pelajar terpaksa duduk di atas daun dan surat khabar di bawah pokok. Pada waktu itu saya saya sering tertanya-tanya mengapa saya terpaksa menderita begini. Bagaimanapun, inilah permulaan pengalaman saya mengajar.

Q: Terus ke dalam bahagian kolam renang yang dalam.

Ya, terus ke dalam bahagian yang dalam. Pada tahun 1964, tibalah masa untuk saya ke Kolej Teologi Moore di Sydney. Terdapat satu kolej wanita yang dipanggil Rumah Diakonis yang dihubungkan dengan Moore. Kami telah belajar bersama pelajar lelaki. Saya telah mengikuti latihan Rumah Diakonis saya dan pada masa yang sama mengambil kelas untuk Licentiate Teologi, yang seperti Diploma Teologi tetapi memerlukan Bahasa Yunani. Selepas dua tahun, saya telah lulus empat subjek untuk Licentiate saya dan mendapat diploma Diakonis saya. Jadi pada tahun 1966 saya telah terus ke St Andrew’s Hall, kolej latihan CMS. Kami telah belajar bermacam-macam perkara—linguistik, strategi dan falsafah misi, serta perkara praktikal seperti bagaimana membuat roti, bagaimana memandu Landcruiser di atas jalan yang teruk dan bagaimana untuk tidur di dalam khemah.

Pada akhir tahun 1966, saya telah diluluskan untuk menjadi seorang misionaris ke Sabah. Kamu tidak tahu di mana kamu akan dihantar sebelum jawatankuasa calon bermesyuarat dan memberitahu kamu. Saya sentiasa merasakan saya mahu pergi ke China, tetapi ia telah ditutup oleh sebab revolusi Komunis. Waktu itu Bisyop [Roland] Koh adalah Bisyop Sabah, dan kami mempunyai sembilan sekolah rendah dan lima sekolah menengah pada masa itu. Dia sangat memerlukan guru, dan telah bertanya sama ada CMS boleh menghantar beberapa guru kepadanya. Jadi sayalah salah seorang guru yang datang.

Q: Adakah kamu satu-satunya guru sekolah rendah daripada CMS?

Revd Walter Newmarch

Terdapat beberapa orang yang lain. Contohnya Jocelyn Swanston, yang merupakan guru besar sekolah rendah di Segama, Bukit Belacon. Saya ingin menjadi seperti dia, dan pergi ke Segama untuk mengajar dan menginjil seperti dia. Tetapi Tuhan lebih tahu, Dia sentiasa ada rencanaNya lama sebelum kita dapat memahami apa yang sedang berlaku!  [Revd] Walter Newmarch di Tawau adalah ketua kami misionaris CMS. Dia dan Bisyop Koh pada mulanya berputus bahawa saya harus membuat penyediaan bagi pembentukan Gereja Kristus [Likas]. Saya terkejut dan berkata, “Tidak, saya tidak boleh buat kerja itu.” Saya memang berhasrat untuk pergi ke pedalaman bersama Jocelyn. Namun demikian hati saya adalah untuk orang Cina. Saya keliru. Akhirnya mereka telah bersetuju bahawa saya harus pergi ke Tongud untuk melayani bersama Elsie Elliott, jururawat di sana. Dia melayani di Segama sebelum itu, tetapi pada tahun ’66 telah dihantar ke Tongud. Oleh sebab dialah satu-satunya orang CMS di sana, saya seharusnya ke sana untuk menjadi rakannya dalam Tuhan. Itulah bagaimana ia ternyata.

Dalam bahagian temu ramah seterusnya, Ps Sylvia berkongsi tentang pelayanannya di Tongud sebagai seorang guru, guru besar dan pastor kepada gereja-gereja Kinabatangan. Dia telah mengalami pelbagai cabaran, tetapi juga mengalami kebangkitan peribadi dan menyaksikan kebangkitan rohani yang tersebar di kalangan gereja-gereja Anglikan di pedalaman.