Right Reverend Yong Ping Chung telah melayani sepenuh masa di Diosis Anglikan Sabah selama 37 tahun, sejak tahun 1969. Beliau telah berkhidmat sebagai seorang paderi, archdeakon dan akhirnya sebagai Bisyop Sabah selama 16 tahun (1990-2006). Beliau juga dipilih sebagai Archbisyop Provinsi Asia Tenggara yang kedua (2000-2006). Tahun ini menandakan 50 tahun sejak beliau ditahbis, dan beliau masih melayani dengan berkhotbah dan menjalankan penetapan di Diosis kita. Dalam bahagian pertama temu ramah ini bersama dengan beliau di rumahnya di Kota Kinabalu, beliau berkongsi tentang zaman kanak-kanaknya, bagaimana beliau menerima Tuhan Yesus dan menyahut panggilan daripada Allah untuk menjadi seorang paderi, serta peringkat awalnya dalam pelayanan sepenuh masa, iaitu satu tempoh yang mencabar bagi seluruh diosis kita.
Bolehkah anda bercerita sedikit tentang zaman kanak-kanak anda?
Ketika saya muda, keluarga saya tinggal di Semporna—ibu bapa saya, dua orang adik lelaki saya, dan saya sendiri. Saya bersama dengan kedua-dua adik lelaki saya telah pergi ke Tawau untuk belajar di Sekolah Menengah St Patrick. Semporna pada masa itu agak ulu dan primitif. Jalan raya pun belum lagi dibuka, jadi kami biasanya pulang ke Tawau pada musim cuti sekolah dengan menaiki bot.
Bagaimanakah zaman sekolah anda di St Patrick? Ketika itulah anda menerima Yesus, betul?
Ya. Pada masa itu pengetua sekolah ialah En Jim Power, dan beliaulah yang berkongsi tentang Yesus kepada saya. Beliau membantu saya untuk menaikkan Doa Orang Berdosa (Sinner’s Prayer) lalu menyerahkan saya kepada Archdeakon [Walter] Newmarch, rektor Gereja St Patrick pada waktu itu. Kami telah melalui Katekumenat satu tahun. Begitulah permulaan saya. Selepas menerima Yesus ke dalam kehidupan saya, saya mula lebih berminat dalam perkara-perkara rohani.
Adakah terdapat satu sebab atau peristiwa khusus yang menyebabkan anda menerima Yesus ke dalam kehidupan anda?
Apabila saya mengimbas kembali masa itu, saya rasa itulah panggilan Allah. Pada waktu itu saya tinggal di asrama sekolah. Sebagai pengetua, En Power amat mengambil berat terhadap kerohanian semua pelajar. Saya juga merupakan Ketua Pengawas, jadi pada suatu hari saya telah berjumpa dengan beliau untuk memberi beliau beberapa buku. Beliau telah meminta saya untuk duduk lalu bertanya kepada saya, “Adakah kamu ingin percaya kepada Yesus?” Beliau memang terus terang. Memanglah, kalau pengetua bercakap sedemikian kepada kamu, kamu perlu menghormatinya dan tidak boleh terus menjawab, “Saya tidak mahu.” Jadi dia telah berbicara kepada saya mengenai kehidupan Yesus dan sebagainya. Saya pun membalas beliau dengan berkata, “Okay.” Itulah permulaannya.
Wow. Anda juga telah menerima persediaan untuk dibaptiskan yang panjang dan teliti.
Itulah amalan biasa pada zaman itu. Persediaan untuk pembaptisan bukanlah satu kursus pendek sepanjang 3 bulan sahaja. Revd Newmarch memang menekankan pemuridan. Jadi sekali setiap minggu saya telah berjumpa dengan beliau dan beliau telah mengajar saya pelbagai perkara mengenai agama Kristian dengan teliti. Sebenarnya saya telah belajar asas Kekristianan saya daripada sesi-sesi tersebut.
Apa yang anda lakukan selepas meninggalkan Sekolah Menengah St Patrick?
Pada waktu itu seseorang boleh belajar di St Patrick sampai Tingkatan 3 sahaja. Selepas saya menerima Sijil Rendah saya, saya pergi ke Sekolah All Saints, Kota Kinabalu, untuk Tingkatan 4 and 5. Selepas itu saya pergi ke Kanada untuk pengajian universiti saya. Pada masa dulu kamu boleh pergi ke universiti selepas Tingkatan 5. Universiti itu telah memberi syarat bahawa saya perlu menerima Gred 1 dan keputusan yang baik untuk mereka menerima saya.
Apabila anda bertolak ke Kanada, adakah anda sudah berputus untuk belajar teologi?
Sebenarnya saya sudah memutuskan—atau, lebih tepat, Allah sudah memutuskan—bahawa saya harus belajar teologi. Setelah saya tamat Tingkatan 5, saya sudah tahu bahawa saya akan dilatihkan untuk pelayanan sebagai paderi. Namun demikian, soalannya adalah: di mana? Banyak cadangan dikemukakan. Ada yang kata saya patut pergi ke Australia, ada yang berkata Hong Kong, ada lagi yang berkata Singapura. Akan tetapi pada masa itu pengetua Sekolah All Saints adalah Canon Edward Rusted. Beliau dan Revd Newmarch telah membincangkan perkara itu dan mereka berasa saya seharusnya belajar teologi dalam Bahasa Inggeris.
Oleh itu, mereka telah menemui satu program di Newfoundland, Kanada di mana saya boleh mengikuti program Sarjana Muda Sastera dengan Kajian Alkitabiah sebagai subjek major. Ini diperbolehkan kerana Universiti Memorial mempunyai satu kolej teologi, iaitu Kolej Queen, yang merupakan salah satu fakulti universiti tersebut. Saya juga mengambil dua subjek minor—falsafah dan matematik. Semuanya seolah-olah begitu sempurna sekali.
Adakah kolej teologi ini kolej Anglikan?
Ya, ia sebenarnya sedikit seperti Anglican Training Institute (ATI) kita. Ia ditubuhkan sebagai sebuah kolej diosis untuk melatih paderi di diosis tersebut. Ia dinaik taraf sedikit demi sedikit sehingga menjadi sebahagian daripada universiti itu.
Adakah Gereja Anglikan dan kolej teologi di Kanada amat berbeza daripada apa yang anda mengalami di St Patrick?
Pada masa itu, semuanya agak seragam lah. Setiap kolej teologi perlu melakukan perkara-perkara tertentu. Jadi kami mengikuti Doa Pagi dan Doa Petang serta Perjamuan Kudus yang kerap di chapel kolej.
Bagaimana pengalaman anda sewaktu pulang ke Sabah selepas pengajian universiti?
Saya telah pulang pada tahun 1969. Memanglah, mengaji adalah satu perkara, manakala untuk pulang dan bermula melayani adalah perkara yang berbeza. Tambahan pula, saya telah pulang sewaktu Tun Mustapha sedang menghantar para misionaris pulang ke negara mereka masing-masing. Jadi pada waktu itu, kami sangat kekurangan paderi. Kami ada hanya enam paderi sepenuh masa, termasuk Lawrence Lawin dan Arnold Puntang.
Di mana anda melayani pada mulanya?
Pada mulanya setelah saya pulang, saya melayani di Katedral All Saints selama lebih kurang empat tahun. Ven. Archie Briggs merupakan dean, tetapi beliau jarang di sana kerana beliau juga adalah Archdeakon dan selepas itu Vicar-General yang memimpin seluruh diosis. Jadi sayalah paderi tunggal yang mengendalikan kebaktian harian dan semua perkara lain yang sedang berlaku.
Adakah anda berasa kerja anda amat berat, memandangkan anda perlu mengendalikan kesemuanya?
Tidak, sebenarnya ia satu tempoh yang agak merangsangkan. Kami diberi peluang untuk melakukan pelbagai tugas, kerana hanya kamilah yang ada. Jadi kami telah belajar banyak daripada pelayanan kami. Archdeakon Briggs berusaha untuk berada di chapel sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kami akan mengadakan mesyuarat kakitangan di chapel sahaja. Pada masa itulah kami mulai sedar bahawa kami perlu melatih paderi tempatan. Selepas Archdeakon Briggs terpaksa meninggalkan kami kerana pas kerjanya tidak diperbaharui, hampir tiada orang lain yang tinggal. Oleh itu, kami mula mendorong jemaat tempatan untuk memasuki pelayanan sepenuh masa.
Berapa cepatnya usaha ini berbuah?
Dengan sangat lambat. Saya rasa sebahagiannya kerana pada masa itu di diosis kita, gaji paderi begitu rendah sekali. Apabila saya mula melayani, gaji bulanan saya hanya 250 dolar. Jadi pada akhir bulan, duit kami akan habis, dan makanan kami juga akan habis. [ketawa] Jadi sesudah saya mengalami situasi ini, apabila saya mempunyai sedikit pengaruh di diosis, kami mula meningkatkan gaji paderi-paderi muda.
Ke manakah anda pergi selepas empat tahun di All Saints?
Saya telah dihantar ke Sandakan dan melayani di Gereja St Michael selama 12 tahun.
Bagaimanakah situasi di St Michael? Sefahaman saya, pada masa itu gereja tersebut sangat “high church.”
Ya, untuk suatu tempoh memanglah begitu, kerana paderi-paderi geraja itu datang daripada USPG [Persatuan Bersatu Penyebaran Injil]. Jadi jemaat di sana biasa dengan kebaktian “high church.” Apabila saya pergi ke sana, saya ikut sahaja. Tiada gunanya untuk bertengkar mengenai perkara-perkara remeh dan abaikan perkara yang lebih penting. Jadi kami telah memulakan kajian Alkitab, kelompok kajian dan latihan jemaat awam untuk membantu jemaat kami dilengkapkan.
Jadi anda telah memberi fokus kepada perkara yang penting, bukannya mengubah perkara tertentu yang mungkin mendatangkan kontroversi?
Ya. Ada di kalangan mereka yang biasa dengan penyembahan “high church” yang berubah sedikit demi sedikit apabila mereka menjadi lebih matang dari segi Alkitabiah dan kerohanian. Namun demikian, bagi mereka yang ingin meneruskan amalan “high church,” itu pun okay. Itu hanya perkara luaran, bukan intipati sebenar. Intipadi sebenar adalah satu kehidupan yang disentuh oleh Yesus.
Betulkah anda juga dilantik sebagai archdeakon?
Ya, sewaktu saya di Sandakan, saya dilantik sebagai archdeakon. Pada masa itu diosis hanya mempunyai satu archdeakon, jadi saya sering perlu ke sana ke sini.
Dan anda juga pengerusi SAIM (Misi Pedalaman Anglikan Sabah)?
Ya, pada ketika itu kami tidak ramai orang, jadi satu orang perlu buat semua benda.
Sebagai pengerusi SAIM dan archdeakon, anda perlu kerap masuk ke pedalaman?
Ya, betul, itu permulaan penglibatan saya di kawasan pedalaman. Sebagai pengerusi SAIM, saya perlu menjaga gereja-gereja pedalaman, jadi saya telah menjelajah ke pelbagai kawasan di pedalaman.
Menarik sekali. Apakah antara perkara yang anda lakukan untuk mendorong misi dan penjangkauan di pedalaman?
Saya berasa bahawa untuk mendorong misi kita perlu bekerjasama sebagai satu diosis. Jadi saya telah menggalakkan beberapa paderi di pekan untuk memasuki kawasan pedalaman. Contohnya, [Revd] James Lee, berada di pedalaman untuk masa yang lama. [Revd] Daniel Vun juga, untuk satu masa.
Selepas itu, paderi dari pedalaman pula yang keluar ke kawasan pekan dan bandar. Jadi sekarang kita mempunyai Dean Musa [Ambai] serta Bisyop kami, Melter [Tais]. Mereka pemimpin orang asal. Canon [Arnold] Puntang pun pernah menjadi rektor St Patrick, Tawau untuk satu ketika pada tahun 1970-an. Melihat kembali sekarang, memang bagus kami tidak membezakan paderi pekan dan pedalaman. Kita semua satu diosis, dulu dan sekarang.
Dalam bahagian seterusnya temu ramah ini, Bisyop Yong Ping Chung berkongsi mengenai tahun-tahun pelayanannya yang seterusnya, termasuklah sesetengah berkat dan cabaran yang beliau alami semasa melayani sebagai Bisyop Sabah dan Archbisyop Asia Tenggara.