Dari Sri Aman, Sarawak ke Pedalaman Sabah: Temu Ramah Bersama Canon Lawrence Lawin (Bahagian 1)

Canon Lawrence Lawin merupakan salah seorang daripada lima misionaris Iban yang telah menjadi pelayan sepenuh masa Anglikan pertama di pedalaman Sabah apabila Misi Pedalaman Anglikan Sabah (SAIM) ditubuhkan pada tahun 1958. Pada tahun depan beliau akan meraikan 60 tahun pelayanannya dengan Diosis Sabah, pada mulanya sebagai guru di Sekolah Misi Holy Cross kemudian selama lebih daripada 50 tahun sebagai seorang paderi. Dalam bahagian pertama temu ramah dengannya di rumahnya di Kampung Kuala Sapi, beliau berkongsi tentang bagaimana beliau datang ke Borneo Utara pada tahun 1959 serta mengenai pelayanan awalnya sebagai seorang guru.

Q: Canon Lawrence, adakah anda telah dibesarkan dalam keluarga Anglikan?

Sebenarnya saya orang yang pertama dalam keluarga saya yang menjadi seorang Kristian. Saya telah dibaptiskan pada 5hb April 1954, dan telah ditetapkan pada 6hb April tahun kemudiannya. Ibu bapa saya telah turut menjadi pengikut Yesus beberapa tahun kemudian.

Q: Apa telah merangsang anda untuk menyahut panggilan untuk datang ke Sabah untuk Misi Pedalaman Borneo Utara? Memandangkan anda telah berada di bahagian barat Sarawak pada waktu itu, apakah yang menyebabkan anda berkata, “Saya akan pergi”?

Sebenarnya saya pun tidak tahu kenapa saya sampai di Sabah. Selepas saya menghabiskan Tingkatan 3 di Sekolah Misi St Luke, Sri Aman, saya telah balik ke kampung. Jadi, cita-cita saya pada masa itu mahu jadi orang kampung lah. Bekerja pelihara ayam ka, begitu. Tetapi sesuatu yang tidak dijangka tiba-tiba berlaku pada 27hb Disember 1958. Waktu itu saya sedang bersembang bersama muda-mudi yang lain di kampung saya, kerana di Sarawak kami masih sedang merayakan Krismas di rumah panjang. Pada jam 5 petang seorang telah datang dan memberi saya sepucuk surat. Saya terkejut apabila membuka surat tersebut kerana ia datang dari Diosis Borneo. Surat itu berkata bahawa Bisyop nak saya pergi ke Borneo Utara untuk bantu seorang bekas guru kami, mendiang Francis Krie, yang telah memulakan sekolah di Kuala Sapi ini.

Surat itu juga meminta saya pergi ke Kuching untuk mendapat dokumen saya untuk pergi ke Borneo Utara. Saya sebenarnya rasa gembira kerana tidak pernah pergi keluar dari Sarawak. Bisyop sendiri telah menghantar saya ke lapangan terbang Kuching pada 4hb Februari. Dia kata, “Saya akan hantar kamu ke Borneo Utara untuk tempoh dua tahun.” Oleh sebab Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus pada masa itu, saya hanya jawab, “Ya, okay.” Sebelum saya naik kapal terbang itu, Bisyop telah mendoakan saya, selepas itu dia kata, “Jangan kamu balik.” [ketawa] Sekali lagi saya hanya boleh jawab, “Ya.” Dan itulah masalahnya apabila kamu tidak cukup fasih dalam sesuatu bahasa.

Q: Bagaimana perjalanan anda ke Kuala Sapi?

Ia bermula dengan satu perjalanan kapal terbang yang panjang. Kami telah berlepas pada jam 8 pagi—Malayan Airways, masa itu tahun 1959. Kami berhenti di Sibu, Miri, Brunei, Jesselton, dan akhirnya kami tiba di Sandakan. Lapangan terbang Sandakan pada masa itu memang gelap, tetapi terdapat seorang lelaki yang sangat tinggi di sana. Saya berfikir, “Dia pasti seorang paderi.” Dan memang lelaki itu Canon Frank Lomax, Rektor di Gereja St Michael. Saya tinggal di Sandakan selama lima hari menunggu pengangkutan kerana pada masa itu semua kena naik bot. Saya tinggalkan Sandakan pada 10hb Februari 1959 dengan kapal kerajaan Mantanani, dan sampai di sini lebih kurang jam 6 petang. Memang gelap. Masa itu satu saja rumah di sini. Dan pada 11hb Februari, saya mula mengajar. Saya seorang guru yang tidak terlatih.

Pada masa itu Francis Krie pengetua sekolah, dan saya pembantu dia. Tapi selepas itu pada tahun 1960, Diosis telah minta dia balik ke Sarawak, jadi dia tinggalkan saya seorang diri. Kami ada empat kelas pada masa itu. Kami bermula dengan 35 murid, tetapi pada tahun 1960 kami sudah ada hampir 60 murid. Pada masa itu di ulu Labuk, Holy Cross satu-satunya sekolah Bahasa Inggeris, jadi ada ramai orang yang nak datang belajar BI. Menjelang hujung tahun 1960, seorang paderi telah datang dari negara Filipina.

Sister Ena Florence CJGS

Q: Father Ticobay?

Betul, Father Ticobay. Jadi dia tolong saya sedikit, tetapi pada akhir tahun itu dia didihantar ke Telupid. Tetapi pada awal 1961 keadaan bertambah baik kerana Sister Ena Florence [CJGS] telah datang. Selepas itu kami ada lebih ramai guru jadi kerja menjadi lebih ringan.

Q: Apabila anda sampai di sini, adakah anda sudah fasih berbahasa Melayu?

Tidak. Bahasa Melayu saya tidak bagus masa itu, kerana saya tidak pergi ke sekolah Melayu. Pada masa itu di Sarawak semua sekolah adalah sekolah Bahasa Inggeris.

Q: Bagaimana anda telah membahagikan masa antara kerja mengajar dan kerja penginjilan?

Sebenarnya pada mulanya saya tidak begitu terlibat dengan kerja penginjilan melalui berkhotbah, kerana saya berada di sekolah. Tetapi seperti yang kamu tahu, sebagai seorang guru misionaris, prioriti utama adalah penginjilan di kalangan murid-murid. Pembaptisan pertama di sini telah dijalankan pada tahun 1960. Canon Lomax telah datang untuk melakukannya . Pada tahun itu juga penetapan telah dijalankan. Pada masa itu Sabah masih di bawah Sarawak—kami dipanggil Diosis Borneo—jadi Pembantu Bisyop James Wong telah datang untuk melakukan penetapan.

Tetapi selepas melayani enam tahun setengah di Sekolah Holy Cross, saya telah diminta untuk meletak jawatan. Pada masa itu—tahun 1962—kami sudah menjadi Diosis yang berasingan, jadi kami tidak bergantung lagi kepada Sarawak. Bisyop Roland Koh telah minta saya meletak jawatan. Seterusnya saya dihantar untuk melayani di St Michael’s selama empat atau lima bulan sebelum saya sambung belajar di Kolej Teologi Trinitas di Singapura.

Dalam bahagian temu ramah yang seterusnya, Canon Lawrence berkongsi bagaimana beliau telah menyahut panggilan untuk menjadi seorang paderi dan pengalaman pelayanannya, termasuklah beberapa tahun sebagai “paderi Anglikan tunggal di pedalaman.”