Sejarah Ringkas Zaman Permulaan Gereja Anglikan St James, Kudat

Artikel sejarah ini diterbitkan bersempena dengan Retret Warga Emas Bahasa Cina & Inggeris Diosis yang diadakan di Gereja St James, Kudat beberapa hari yang lalu (22hb-24hb Julai 2019). Terima kasih kepada Revd James Yap yang mencadangkan penerbitan artikel ini.

Revd W. H. Elton

Pada bulan Julai 1888, Reverend William Henry Elton telah meninggalkan London untuk ke Sandakan, selepas menerima tugasan misionarisnya daripada Persatuan Penyebaran Injil (S. P. G.) untuk melayani ekspatriat British dan warga Eropah lain di negeri Sabah (North Borneo) yang baru. Beliau telah singgah di Singapura, di mana beliau mendengar khabar tentang orang Kristian Cina di Kudat. Beliau telah singgah pula di Labuan dan Kudat, di mana beliau bertemu dengan lebih kurang 20 orang Kristian Hakka di sebuah kedai. Mereka meminta beliau untuk menghantar seorang katekis untuk menggembalakan mereka di Kudat. Revd Elton telah sampai ke Sandakan pada hari Ahad, 2hb September 1888.

Pada bulan Disember 1888, Revd Elton telah pulag melawat Kudat dan diminta sekali lagi untuk menghantar seorang misionaris dan guru sekolah untuk ditugaskan di Kudat. Kali ini Revd Elton telah berjanji untuk menghantar seorang misionaris dengan syarat orang Kristian Cina boleh bersatu membentuk satu jemaat. Pada masa itu, mereka terbahagi ke dalam kelompok-kelompok yang telah diinjilkan oleh misi Basel, Berlin, CMS (Anglikan) dan Methodist sewaktu di negara Cina.

Pada tahun 1889, satu kumpulan lagi petani Hakka telah sampai dan menetap di Sin San, satu kampung yang baru. Pada tahun tersebut, Bisyop Hose telah menghantar Foo Hee, seorang Cina Sarawak untuk menubuhkan sebuah sekolah di Kudat menggunakan bangunan kerajaan sebagai bilik sekolah.

Setelah menerima tanggungjawab untuk kehidupan rohani orang Kristian di Kudat dan menabur benih misi di sana, Revd Elton telah membuat persediaan untuk membina sebuah gereja dan menghantar seorang misionaris. Pada bulan April 1890, beliau membawa tiga orang tukang kayu daripada Sandakan ke Kudat. Sesudah memilih sebuah tapak misi, lima ekar daripada pekan, beliau telah menebas hutan dan menandakan asas gereja sekolah.

Gereja sekolah ini dan rumah paderi telah siap dibina pada bulan September 1890 dengan kos $500. Revd Elton telah datang untuk mengambil alih bangunan tersebut, tetapi mendapati bahawa orang Kristian Cina daripada denominasi lain masih tidak beribadah sebagai satu jemaat. Satu mesyuarat semua orang Kristian Cina telah diaturkan di rumah En Seah Quee Boon, di mana Revd Elton menerangkan bahawa sekiranya mereka masih berkeras untuk tidak bersatu dan mengadakan ibadah masing-masing, mereka tidak mungkin menerima seorang misionaris. Namun demikian, jika mereka bersatu, adalah mudah untuk mereka menerima seorang untuk melayani mereka. Selepas perbincangan yang panjang, semua orang percaya bersetuju untuk bergabung dan telah berjanji bahawa mereka semua akan menyertai satu kebaktian bersatu setiap hari minggu.

Apabila Gereja Anglikan St James telah ditubuhkan pada tahun 1890, orang Kristian Hakka daripada Misi Basel membentuk hampir separuh daripada ahli yang telah dibaptiskan. Kesatuan ini sememangnya satu contoh keindahan persaudaraan dalam Tubuh Kristus. Dukacitanya, kesatuan ini telah tamat sepuluh tahun kemudian apabila komuniti Kristian Basel memilih untuk berpisah dan menubuhkan Gereja Basel. Namun demikian, ramai orang Kristian Cina, termasuklah Revd Fong Hau Kong yang pernah menjadi seorang katekis Basel sebelum menyertai Gereja Anglikan, membuat pilihan untuk kekal dalam gereja angkat mereka, iaitu Gereja St James.

Sungguh, alangkah baiknya dan indahnya, apabila saudara-saudara diam bersama dengan rukun!

Seperti minyak yang baik di atas kepala meleleh ke janggut, yang meleleh ke janggut Harun dan ke leher jubahnya.

Seperti embun gunung Hermon yang turun ke atas gunung-gunung Sion.

Sebab ke sanalah Tuhan memerintahkan berkat, kehidupan untuk selama-lamanya.

—Mazmur 133:1-3

Sumber: St James’ Kudat 120th Anniversary Souvenir Magazine (2010), disunting dengan bantuan Revd James Yap.