Bahan Doa—3 May 2020

 

Berikut adalah bahan doa bagi minggu yang bermula pada hari minggu, 3hb Mei 2020:

1. Kesyukuran

Mazmur 33:18-22
Sesungguhnya, mata TUHAN tertuju kepada mereka yang takut akan Dia, kepada mereka yang berharap akan kasih setia-Nya, untuk melepaskan jiwa mereka dari pada maut dan memelihara hidup mereka pada masa kelaparan. Jiwa kita menanti-nantikan TUHAN. Dialah penolong kita dan perisai kita! Ya, karena Dia hati kita bersukacita, sebab kepada nama-Nya yang kudus kita percaya. Kasih setia-Mu, ya TUHAN, kiranya menyertai kami, seperti kami berharap kepada-Mu.

2 Tawarikh 7:14
dan umat-Ku, yang atasnya nama-Ku disebut, merendahkan diri, berdoa dan mencari wajah-Ku, lalu berbalik dari jalan-jalannya yang jahat, maka Aku akan mendengar dari sorga dan mengampuni dosa mereka, serta memulihkan negeri mereka. 

◦ Mari kita ucap syukur dan pujian pada Allah kerana Dia taat dan setia pada firman-Nya. Apabila kita merendahkan diri di hadapan-Nya dan berbalik daripada pemberontakan kita, Dia akan mendengar doa-doa kita dan memulihkan kita
◦ Kita ucap syukur pada TUHAN atas kasih dan persekutuan yang kita kongsi dalam Kristus di Gereja, bahkan selama kita beribadah secara online bersama-sama
◦ Bersyukur pada Allah kerana ramai telah sembuh daripada jangkitan COVID-19 terutamanya di negara ini, di mana kita dapat lihat lebih banyak orang yang sembuh dari virus daripada jangkitan baru. Kita berikan pujian kepada TUHAN kerana negara mula membuka semula ekonomi dan aktiviti sosial minggu ini
◦ Kita ucap syukur pada TUHAN kerana melindungi Rev. Fredoline bin Babia dan keluarganya daripada kebakaran baru-baru ini dan tetap menyediakan kepada mereka pada masa keperluan
◦ Kita ucap syukur dan pujian pada Allah bahawa mata TUHAN tertuju kepada mereka yang takut akan Dia, dan Dialah penolong dan perisai kita
◦ Luangkan masa untuk memuji Allah dan menyembah-Nya untuk Pengharapan yang kita ada di dalam Allah yang mengasihi kita dan terus menyediakan bagi kita

2. Pertaubatan

Pertaubatan peribadi dan korporat

Yohanes 13:34-35
Aku memberikan perintah baru kepada kamu, yaitu supaya kamu saling mengasihi; sama seperti Aku telah mengasihi kamu demikian pula kamu harus saling mengasihi. Dengan demikian semua orang akan tahu, bahwa kamu adalah murid-murid-Ku, yaitu jikalau kamu saling mengasihi.”

◦ Akui dan bertaubat kerana gagal menunjukkan kepada dunia kasih Allah dengan meghidupkan kasih Kristus di antara saudara-saudari dalam keluarga Allah
◦ Akui dan bertaubat kerana kita tidak saling mengasihi sesama kita dalam urusan peribadi kita dengan orang lain di sekeliling kita dalam kehidupan seharian
◦ Akui dan bertaubat kerana tidak mempedulikan keperluan orang asing, pekerja migran (sah atau tidak sah), pelarian dan tanpa kewarganegaraan dalam masyarakat kita
◦ Akui dan bertaubat kerana kita gagal berdoa untuk jiran-jiran kita sebagai satu ekspresi kasih Allah terhadap mereka
◦ Akui dan meminta TUHAN untuk mengampuni kita daripada dosa-dosa mengeksploitasi dan menyalahgunakan pekerja migran demi keuntungan atau faedah dalam perniagaan dan negara ini

Filipi 2:4
dan janganlah tiap-tiap orang hanya memperhatikan kepentingannya sendiri, tetapi kepentingan orang lain juga. 

◦ Akui dan meminta TUHAN untuk mengampuni di mana kita tidak memperhatikan kepentingan jiran-jiran kita dalam masyarakat dan negara kita serta di antara bangsa-bangsa
◦ Akui dan meminta TUHAN untuk mengampuni cita-cita egois, prasangka dan saling melahap sesama lain

3. Berdoa untuk Gereja

◦ Berdoa untuk kepimpinan Gereja Allah, agar Gereja mempunyai hikmah dari syurga untuk membuat keputusan yang saleh dan menyediakan kepimpinan saleh kepada mereka di bawah tanggungjawab mereka. Berdoa agar TUHAN akan terus berbicara kepada mereka mengenai Gereja-Nya di tengah pandemik ini. Khususnya ingati Archbisyop dan semua bisyop
◦ Berdoa untuk semua umat Kristian dalam arena politik negara ini, agar mereka akan merendahkan diri di hadapan Allah dalam ketakutan akan TUHAN dan membuat pilihan yang saleh dan keputusan yang bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat dan negara. Berdoa untuk persidangan Parlimen pada Mei 18, agar pemimpin kita akan bertindak atas dasar kebajikan dan kepentingan negara
◦ Berdoa agar umat Allah akan dapat mencari realiti kasih Allah yang begitu dekat dengan kita di dalam kehidupan seharian kita dan iman terus diperkukuhkan
◦ Berdoa agar Gereja akan sensitif terhadap keperluan orang-orang sekitar mereka, agar kita akan mengkongsikan kasih Allah, beritakan pengharapan dan injil keselamatan kepada mereka, terutamanya Gereja di Malaysia dan provinsi Asia Tenggara
◦ Berdoa agar Gereja pada masa ini akan menyatakan tindakan dan ekspresi kasih yang praktikal kepada jiran-jiran kita, untuk memberi kesaksian kepada kasih Allah
◦ Berdoa untuk pembangunan semula Gereja Anglikan Sumur Hidup di Kuala Penyu dan ibadah gereja. Berdoa untuk penghiburan, kekuatan dan pembekalan kewangan kepada setiap pemimpin dan jemaat gereja
◦ Berdoa untuk Gereja agar dalam pembukaan semula ini, TUHAN akan memimpin kita ke dalam norma baru dalam persekutuan kita, kesaksian dan penginjilan, pemuridan dan pelayan kita
◦ Berdoa agar nikmat, rahmat dan hikmah Allah akan berserta dengan umat Allah, agar nafkah mereka akan dipulihkan. Berdoa untuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan agar mereka akan mengalami nikmat dan mujizat Allah dalam hidup mereka pada bulan-bulan yang akan datang
◦ Meminta TUHAN untuk berbicara kepada umat-Nya pada saat ini, supaya kita akan mengetahui bahagian-bahagian hidup kita yang perlu diatur semula dan diutamakan semula. Berdoa agar kita akan mengingati apa yang TUHAN telah nyatakan kepada kita secara individu dan korporat walaupun selepas tempoh PKP
◦ Bawakan pertaubatan atas semua kegelapan yang memenuhi tanah kita dan memberi kesempatan kepada musuh untuk menindas kita. Banyak tabiat dan aktiviti sosial yang kita anggap normal adalah kekejian di hadapan TUHAN

4. Berdoa untuk bangsa-bangsa

◦ Berdoa agar kita akan meningkatkan tahap pertaubatan kita di hadapan TUHAN yang akan menyebabkan rahmat-Nya menang menentang pandemik Covid-19
◦ Isytiharkan bahawa mereka yang menaruh kepercayaan di dalam TUHAN dalam musim ini akan menerima imuniti syurgawi dari TUHAN dalam membendung wabak ini
◦ Berdoa untuk rahmat Allah atas negara-negara yang terjejas oleh COVID-19 dan meminta Allah menyelamatkan negara-negara ini. Berdoa dan menentang kerja-kerja penghancuran musuh yang bertentangan dengan tujuan Allah untuk bangsa-bangsa. (Sila rujuk senara negara yang terjejas oleh koronavirus)

i. Renungkan Mazmur 27, 145 dan respons dengan doa-doa
ii. Berdoa dan menentang ketakutan, keresahan dan keputusasaan
iii. Berdoa untuk mereka yang sedang atau akan terjejas oleh penyebaran koronavirus yang berterusan ini dan berdoa untuk kesembuhan. Berdoa untuk mereka di mana nafkahnya terjejas, dan pelajar di mana pelajaran mereka terganggu
iv. Berdoa untuk kerajaan kita dan kerajaan lain di serata dunia, agar mereka akan mempunyai hikmah untuk meminima, mengawal dan membendung pandemik ini
v. Berdoa untuk ketersediaan sumber-sumber untuk membantu membendung virus ini, terutamanya di negara-negara miskin
vi. Berdoa untuk perlindungan ke atas kakitangan perubatan, dan mereka yang berada di barisan hadapan termasuk polis, tentera, pembekal perkhidmatan penting, warga tua, mereka yang ada masalah kesihatan, dll
vii. Berdoa untuk kesembuhan dan pemulihan ekonomi negara dan kewangan rakyat negara ini dalam masa yang akan datang

◦ Berdoa untuk kebajikan jiran-jiran kita dalam negara, mereka yang berlainan iman dan orang-orang asing, supaya mereka akan mengalami kasih Allah dalam musim ini
◦ Ucapkan berkat kepada pelbagai masyarakat dalam negara kita, perhatikan kebajikan mereka dan laungkan kejayaan ke atas hidup dan generasi mereka
◦ Memohon rahmat dan kasih setia Allah

Habakkuk 3:2
TUHAN, telah kudengar kabar tentang Engkau, dan pekerjaan-Mu, ya TUHAN, kutakuti! Hidupkanlah itu dalam lintasan tahun, nyatakanlah itu dalam lintasan tahun; dalam murka ingatlah akan kasih sayang!

i. Memohon rahmat Allah atas bangsa-bangsa. Meminta TUHAN agar dalam murka-Nya akan mengingati kasih saying-Nya
ii. Berdoa agar bangsa-bangsa akan berbalik pada Allah dan menaruhkan pengharapan mereka pada Allah. Berdoa agar orang ramai akan rendahkan diri mereka dan berbalik pada Allah untuk pertolongan dan rahmat
iii. Berdoa agar orang ramai di negara ini akan dapat mencari Yesus sebagai pengharapan yang pasti dalam masa kesulitan
iv. Ucapkan damai, hidup, pengharapan dan pemulihan terhadap negara kita dan bangsa-bangsa
v. Berdoa agar ekonomi, sistem kewangan dan hubungan antarabangsa sedunia akan dipulihkan untuk masa depan yang lebih baik

◦ Fokus pada Salib Yesus, dan gunakan Kuasa Nama Yesus untuk menentang semua virus, kerja-kerja Kerajaan Setan. Luangkan masa untuk menyembah TUHAN, memuji Dia dan isytiharkan Kemenangan Salib atas dosa-dosa dan kegelapan