Melayani Dengan Setia Tanpa Merungut: Temu Ramah Bersama Canon Lawrence Lawin (Bahagian 2)

Dalam bahagian pertama temu ramah ini dengan Canon Lawrence di rumahnya di Kampung Kuala Sapi, kami telah mendapat tahu bagaimana beliau telah datang dari Sarawak ke Borneo Utara pada tahun 1959 serta mengenai pelayanan awalnya sebagai seorang guru di Sekolah Misi Holy Cross. Dalam bahagian kedua ini, beliau berkongsi tentang bagaimana beliau telah menjadi seorang paderi dan pelayanannya selama hampir 50 tahun sebagai seorang hamba Tuhan, termasuklah beberapa tahun sebagai “paderi Anglikan tunggal di pedalaman Sabah,” bah kata Bisyop Luke Chhoa. Beliau juga bercakap tentang perubahan yang beliau telah lihat dan alami sejak beliau mula pelayanannya, serta tentang pendekatannya dalam pelayanan yang berasaskan sikap menerima dan bukan merungut.

Q: Mungkin anda boleh berkongsi serba sedikit bagaimana anda telah menerima Panggilan Imamat?

Saya sebenarnya tidak memahaminya.

Q: Anda tidak memahaminya?

Saya rasa boleh dikatakan semua telah dirancangkan tanpa pengetahuan saya sendiri. Bisyop Roland Koh telah kata kepada saya, “Kamu akan pergi ke Singapura,” dan oleh itu saya telah pergi ke sana. Sebenarnya saya sepatutnya berada di sana selama empat atau lima tahun kerana Kolej Teologi Trinitas (TTC) biasanya tidak menerima sesiapa yang hanya ada kelayakan Tingkatan 3. Sekurang-kurangnya sijil Tingkatan 5 diperlukan. Namun demikian, saya telah dihantar ke sana sebagai pelajar khas. Lima tahun adalah masa yang lama untuk seorang lelaki yang sudah berkahwin, tetapi selepas tiga tahun saya telah menerima sepucuk surat daripada Bisyop di mana beliau berkata bahawa beliau inginkan saya pulang ke Sabah. Jadi saya pun menjawab, “Ya,” dan oleh itu saya telah habis pengajian saya dua tahun lebih awal daripada yang dijangka.

Bisyop telah meminta saya membuat dua perkara semasa saya berada di Singapura. Pertama adalah untuk mengikuti kelas tuisyen malam Bahasa Inggeris, dan juga kelas tuisyen Bahasa Melayu. Pada masa itu kelas begini sangat murah, hanya dua dollar setiap sesi. Sekarang memang tak boleh cari kelas dengan harga begitu. Bisyop juga berkata, “Kalau kamu tidak lulus ujian BM kamu, kamu tidak akan ditahbis.” [ketawa] Syukurlah saya yakin saya akan lulus, dan saya memang pun lulus. Jadi saya telah menerima sepucuk surat lagi dari Bisyop Koh di mana beliau berkata saya akan ditahbis sebagai diakon pada 1hb November [1968]. Jadi, 1hb bulan depan menandakan sudah lima puluh tahun saya berkhidmat dalam dengan Diosis sebagai hamba Tuhan.

Q: Wah, puji Tuhan.

Saya rasa saya orang tempatan pertama yang ditahbis di Katedral All Saints. Selepas pentahbisan saya sebagai diakon, saya bersama keluarga saya telah dihantar pergi ke Gereja St John Penangah. Itu kampung Dean Musa [Ambai]. Perjalanan ke sana memakan masa satu minggu. Apabila kami sampai ke sana kami mendapati rumah paderi ada bumbung saja, tiada dinding yang lengkap. Tapi Yesus sendiri pun tidak ada rumah kepunyaannya. Jadi saya tidak merungut langsung. Kami di sana selama setahun setengah. Saya telah bekerja di bawah seorang lagi paderi Filipina, Father [Eduardo] Anosan.

Selepas itu saya telah ditahbis sebagai paderi pada 20hb Mac 1970 sekali dengan Bisyop Yong [Ping Chung]. Seminggu selepas kami pulang ke Penangah, saya telah diminta untuk pergi ke Tongud kerana Father Anosan terpaksa pulang ke negara asalnya. Pada masa itu semua paderi misionaris terpaksa meninggalkan Sabah. Jadi saya di sana selama empat tahun, menjaga Misi Epiphany Tongud serta Gereja St John Penangah. Satu kawasan cukup besar.

Q: Berapa sidang yang terdapat di kawasan tersebut pada masa itu?

Setiap pusat misi tersebut ada sekurang-kurangnya sepuluh sidang outstation. Saya telah menjaga seluruh kawasan itu. Bisyop [Luke] Chhoa telah tiba pada tahun 1972, dan Tongud tempat pertama yang dia melawat di kawasan pedalaman. Pada masa itu kami hanya ada 6 paderi dalam seluruh Diosis. Oleh itu, Bisyop telah berkata kepada saya, “Kamulah paderi Anglikan tunggal di kawasan pedalaman.” Jadi saya bertanggungjawab untuk menjaga Misi Holy Cross, Misi St Luke Telupid, Misi Epiphany Tongud dan juga Penangah. Saya  kerja begini selama empat tahun. Saya terpaksa banyak berjalan.

Q: Dan dahulu semua perjalanan di kawasan pedalaman adalah menggunakan kapal dan berjalan kaki, kan?

Ya, memang. Oleh itu saya pun kena belajar membaiki enjin perahu dan membina perahu. Tetapi saya sebenarnya gembira. Saya tidak merungut. Namun masa itu memang susah jadi paderi Anglikan tunggal di pedalaman. Di pekan juga sama—kami tidak mempunyai ramai paderi. Contohnya, kami tiada paderi di Lahad Datu, jadi Father Puntang perlu membuat lawatan dari Tawau. Tetapi syukurlah pada masa itu kami mempunyai seorang paderi sukarela, orang Inggeris, yang menjaga gereja di Labuan. Dia bekerja di sektor swasta.

Q: Ah, kerana dia bukan misionaris jadi dia tidak dihantar pulang?

Ya, betul. Tetapi saya rasa apa yang berlaku itu adalah sebahagian daripada rencana Tuhan. Saya tidak menyalahkan [bekas Ketua Menteri Tun] Mustapha kerana mengusir paderi misionaris. Pada akhir 1970-an terdapat beberapa orang muda yang telah menawarkan diri mereka untuk menjalani latihan teologi. Saya memang gembira melihat itu.

Lebih kurang pada masa itu Bisyop Chhoa telah berkata kepada saya selepas suatu seminar di Sandakan, “Saya ingin kamu berehat.” Oleh itu dia telah memberi saya cuti sabatikal. Saya sekali lagi ke Singapura, tetapi ke kolej lain, Kolej Alkitab Singapura (SBC).

Q: Bagaimana pengalaman anda di sana?

Saya telah bertemu dengan beberapa orang Diosis kami di sana, seperti mendiang Bisyop [Albert] Vun, sepupunya Robert Vun, Rosalind Chan, Alison Ng dan Susan Yang. Pada masa itu kami mempunyai agak ramai orang dari Sabah yang sedang menuntut di sana. Saya berada di sana selama lima bulan, dan selepas itu saya pulang ke Kuala Sapi.

Bisyop telah meminta saya membina rumah paderi baru, gereja baru yang beberapa tahun lalu dimusnahkan oleh kebakaran, dan dewan. Lepas itu Bisyop telah minta saya kembali ke Tongud. Sebenarnya [ketawa] saya tidak mahu pulang ke Tongud kerana saya sudah di sana begitu lama. Tetapi Bisyop Yong—masa itu dia masih Archdeacon lagi—dia telah menulis surat kepada saya dan berkata, “Saya tidak boleh tolong kamu. Kamu kena pergi lah.” Jadi selepas Krismas saya telah memberitahu Bisyop bahawa saya akan pergi, dan selepas Paskah saya kembali ke Tongud. Pada masa itu saya sudah melayani sebagai paderi penguasa di Holy Cross selama 14 tahun. Bukan sahaja menjaga Sapi dan Tongud, tetapi juga St Andrew Beluran, Holy Nativity Nangoh, Gereja Terang Hidup Bukit Garam dan Gereja Roh Kudus, Batu 28.

Q: Wah, kawasan yang luas sekali.

Ya, cukup luas. Dan pada masa itu kami tiada penginjil. Saya hampir bersendirian, walaupun Tongud dan Penangah masing-masing mempunyai seorang katekis. Ibu Suria Jeanes juga menolong kami di Tongud. Pelayanannya di Tongud sangat membantu.

Jadi, pada April 1988, saya telah berpindah ke Tongud. Kami telah membina gereja baru di sana. Selepas itu Archdeacon Yong menjadi Bisyop dan telah melawat Tongud. Dia kata kepada saya, “Kita sudah semakin tua.” Saya jawab, “Ya, memang tu.” [ketawa] Dia kata, “Saya mahu kamu pindah dari pedalaman ke pekan.” Sebenarnya St Thomas Sandakan bukan kawasan pekan betul, tetapi dia telah suruh saya pindah ke sana jadi saya pun pindah ke sana pada tahun 1996. Saya telah bersara secara rasmi pada 5hb April 2005, selepas 36 tahun melayani bersama Diosis sepenuh masa.

Q: Apakah perbezaan yang telah anda lihat sepanjang tempoh pelayanan anda?

Canon Frank Lomax

Apabila saya melihat situasi dalam Diosis kami hari ini, ia memang cukup berbeza daripada keadaan masa dulu. Hari ini kami mempunyai begitu ramai paderi serta penginjil, tetapi dulu gereja memang miskin. Apabila Diosis memulakan Misi Pedalaman, jemaat di Sandakan perlu kumpul duit—2 dollar setiap keluarga—untuk kutip derma bagi Holy Cross. Pada waktu saya tiba di Sabah, Canon Lomax telah berkata kepada saya, “Gaji kamu hanya $100 sebulan.” Dia telah tanya saya sekali lagi sebelum saya jalan ke Kuala Sapi, “Adakah kamu puas hati dengan $100?” Saya menjawab, “Apa boleh buat?” [ketawa] Saya tidak merungut. Ini adalah… saya tidak pasti sama ada ini dasar saya ataupun tidak, tetapi saya tidak merungut. Apabila saya ditahbis sebagai diakon, Bisyop telah berkata kepada saya, “Kamu akan dibayar gaji $500 sahaja. Adakah kamu puas hati?” Saya jawab, “Ya.” Tetapi pada waktu itu barang-barang pun tidak begitu mahal lah.

Sebenarnya selepas saya bersara, Bisyop ingin saya terus melayani kerana pada masa itu kami masih kekurangan paderi, jadi saya telah melayani secara sukarela di St Thomas selama tiga tahun. Dia menerangkan kepada saya bahawa Majlis Tertinggi telah berputus bahawa seorang paderi yang sudah bersara tidak akan mendapat gaji penuh walaupun dia adalah paderi penguasa, jadi oleh itu saya akan menerima RM1000 sebulan. Ini bukan gaji tetapi adalah sebahagian elaun kamu. Ini pun saya terima. Saya telah balik ke Kuala Sapi pada tahun 2006. Apabila saya balik ke sini, Canon Arun [Kuak] telah meminta saya membantu dengan Penjamuan Kudus. Saya telah berkata kepadanya, “Kamu mesti menghubungi Bisyop.” Sebagai paderi yang sudah bersara, saya tidak boleh membuat apa sahaja tanpa keizinan Bisyop. Bisyop telah memberi izinnya jadi saya pun membantu. Canon Arun telah melayani di sini selama 8 tahun. Apabila Revd Juny [Lutahir] sampai, dia juga minta saya bantu, oleh itu saya masih membantu lah. Selama saya masih mampu dan selama gereja memerlukan, saya akan terus membantu. Kalau gereja tidak mahu saya lagi, apa boleh saya buat? [ketawa]

Q: Adakah anda mempunyai kata-kata nasihat bagi orang muda yang mempunyai keinginan untuk melayani Tuhan sepenuh masa?

Melayani lah. Melayanilah dengan setia . Tetapi sebenarnya orang muda kami sekarang memang sangat bagus. Saya rasa mereka amat setia. Mereka tidak suka-suka datang dan pergi, tetapi mereka tabah dalam pelayanan mereka. Diosis memang memberi mereka latihan dan sokongan, tetapi kami perlu memberi mereka banyak dorongan. Ramai juga antara orang muda yang ditahbis datang dari pelayanan di antara muda-mudi atau pada mulanya melayani sebagai penginjil muda.

Q: Canon ada apa-apa komen terakhir?

Hari ini kita boleh lihat buah Misi Pedalaman yang cukup hebat. Kami telah memulakan sesuatu yang amat kecil, tetapi ia telah mendatangkan buah yang banyak. Kerja Misi Pedalaman memang telah diberkati oleh Tuhan.

Q: Terima kasih, Canon Lawrence, kerana meluangkan masa untuk ditemu ramah.

Terima kasih banyak-banyak.