Panggilan Tuhan yang Maha Pengasih ke Wilayah yang Tidak Diketahui: Temu Ramah Bersama Ibu Suria Jeanes (Bahagian 3)

Pastor Sylvia Jeanes (juga dikenali ramai sebagai “Ibu Suria”) sudah melayani Gereja Anglikan dan rakyat Sabah selama 51 tahun dalam pelbagai bidang sejak beliau dihantar ke Negeri Di Bawah Bayu oleh Persatuan Misionaris Gereja Australia (CMS-A) sebagai guru misionaris pada tahun 1967. Dalam bahagian ketiga dan terakhir temu ramah ini bersamanya di Pelangi Harapan (Rainbow of Hope), sekolahnya di Kota Kinabalu, beliau berkongsi mengenai pelayanannya sejak 1987. Tuhan telah memanggilnya untuk pelayanan yang tidak disangkakan, termasuklah sebagai pensyarah di Seminari Teologi Sabah dan kemudiannya sebagai pengasas sebuah sekolah untuk kanak-kanak migran yang tidak mempunyai hak untuk pergi ke sekolah kerajaan. Beliau juga mengongsikan kata-kata nasihat bagi mereka yang sedang mencari kehendak Tuhan untuk hidup mereka, serta mereka yang sedang menghadapi kesukaran. [Bahagian 1 Temu Ramah | Bahagian 2 Temu Ramah]

Q: Bolehkah Ibu cerita sedikit bagaimana kamu telah dipindahkan dari Tongud di mana Ibu melayani sebagai pengetua sekolah Misi Epiphany ke KK?

Pada masa itu saya misionaris terakhir di Tongud kerana yang lain semua sudah pulang ke negara asal mereka. Saya memang suka berada di sana. Apabila saya memandu pulang dari Sandakan dan sampai ke bukit-bukit di kawasan Tongud, saya akan memandang kebun-kebun dan berfikir, itulah rumahku. Saya tidak mahu meninggalkan tempat itu, tetapi Bisyop Chhoa dengan hikmatnya telah memutuskan untuk memindahkan saya.

Saya telah mendapat pelaung untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master of Ministry di Kolej Teologi Trinitas (TTC) di Singapura. Untuk tesis saya, Bisyop Chhoa telah meminta saya untuk menulis sejarah Misi Pedalaman. Saya tidak pernah menulis sebuah tesis. Saya pernah belajar di universiti, namun tidak pernah ke tahap di mana saya perlu menulis kertas akademik. Oleh itu, seperti yang saya ditugaskan, saya mula menulis satu sejarah tetapi dalam bentuk cerita. Tetapi saya mempunyai seorang pensyarah yang berkata, “Kamu bukan menulis khotbah, tetapi kertas akademik.” Saya begitu kecewa sampai saya membuang semua bahan-bahan saya ke dalam sebuah kotak di bawah katil saya lalu berkata, “Cukuplah itu.” [Pastor] Lily Chong sedang belajar di sana pada waktu itu, dan dia telah mendorong saya untuk meneruskan usaha saya. Akhirnya, jawatankuasa pemeriksa termasuk [Canon] Frank Lomax telah menjadi seorang amat berpuas hati dengan tesis saya.

Apabila saya pulang dari Singapura, Bisyop Chhoa telah berkata, “Saya ingin kamu berpindah ke KK.” Saya amat gembira mendengar itu kerana saya memang suka KK. Saya berpindah ke sini pada tahun 1987.

Q: Apakah pelayanan kamu di KK?

Pada mulanya, Bisyop Chhoa telah menempatkan saya di Likas. Dari tahun 1982-1986, saya telah melawat gereja-gereja BM Diosis untuk melatih jemaat awam. Terutamanya untuk pelayanan kanak-kanak, tetapi saya juga melatih pemimpin muda-mudi dan penginjil muda. Bisyop inginkan saya membawa pelayanan ini ke KK dan menyentuh gereja-gereja di pekan juga. Jadi selama empat tahun saya telah pergi ke sana sini dalam kereta Land Cruiser: Labuan, Kudat, Tawau, Lahad Datu, dan seluruh kawasan pedalaman.

Tetapi selepas itu penubuhan Seminari Teologi Sabah (STS) telah dirancang. Bisyop Chhoa dan Bisyop [Gereja Basel] Thu En Yu adalah kawan karib. Mereka mau seorang pensyarah Anglikan, jadi Bisyop Chhoa berkata kepada saya, “Saya ingin kamu pergi mengajar di STS.” Saya terkejut betul. “Tidak, saya tidak boleh buat kerja itu,” saya balas. “Saya tidak begitu akademik.” Dia balas pula, “Itulah sebab mereka mau kamu, kerana kamu faham budaya orang tempatan dan boleh mengajar dalam BM. Mereka memerlukan kamu di sana.” Saya pun berkata, “Ok,” dan terus ke sana. Tetapi saya seperti anak kampung. Apabila saya pergi kerja anjing saya pun ikut saya, seperti di pedalaman.

Q: Bagaimana pengalaman kamu di STS?

Saya telah membiasakan diri saya di sana, tetapi saya tidak pernah berasa yakin sepenuhnya kerana saya dikelilingi orang yang mempunyai ijazah PhD. Tidak kira berapa kali mereka berkata, “Oh, kamu memang pandai mengajar. Pelajar suka belajar daripada pengalaman kamu,” saya masih berasa tidak yakin.

Q: Adakah terdapat kajian yang telah Ibu buat semasa di STS yang pada pendapat kamu memang penting?

Semasa saya di Tongud, saya telah sedar bahawa tiada perkataan “terima kasih” dalam bahasa tempatan sana, disebabkan oleh struktur masyarakat mereka. Jika saya tolong kamu, kamu tidak perlu kata, “terima kasih,” kerana berkat itu akan datang kembali kepada saya. Contohnya kalau saya bagi kamu seekor anjing untuk memburu, kamu mungkin akan bagi saya tiga keping zink atau tolong perbaiki perahu saya. Amalan saling membalas adalah asas masyarakat mereka.

Saya tidak faham semua ini sehingga saya ke Sydney untuk mengambil Sarjana Sastera dalam Teologi. Untuk tugasan utama saya, saya ingin membuat kajian tentang fenomena malu, kerana saya sedar saya tidak memahami faktor malu yang begitu penting dalam masyarakat Asia. Orang Barat tidak mempunyai latar belakang ini, jadi saya telah berulang-kali membuat kesilapan. Akhirnya saya telah menulis tugasan saya mengenai bagaimana faktor malu adalah nilai penting dalam surat-surat Paulus kepada orang Korintus. Selepas saya buat kajian, saya faham. Bukan dengan sempurna, tetapi lebih banyak. Ia memang membantu saya, tetapi saya masih sedang belajar, seperti budak tadika.

Q: Jadi Ibu telah mengajar di STS selama 18 tahun, dan selepas itu kamu telah bersara?

Ya. CMS dan Diosis mewajibkan persaraan saya pada umur 65 tahun. Jadi saya telah bersara daripada Diosis pada tahun 2006. Saya ingin bersara daripada STS juga, tetapi mereka minta saya pulang untuk mengajar separuh masa.

Q: Jadi itulah masa di mana pelayanan Ibu dalam gereja berkurang. Bolehkah kamu bercerita sedikit bagaimana sekolah kamu, Pelangi Harapan, telah bermula?

Pada Disember 2002, saya telah pulang ke Australia untuk lawatan 6 bulan selepas Bisyop Yong Ping Chung mendedikasikan rumah Taman Fantasi ini kepada Tuhan. Semasa saya di sana, peraturan imigresen bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan telah diubah, dan oleh itu mereka tidak boleh ke sekolah lagi. Pada waktu itu saya mempunyai seorang pembantu rumah Indonesia. Pada suatu hari pada tahun 2003, dia telah memberitahu saya bahawa ada orang yang minta saya ajar Bahasa Inggeris kepada gadis Filipina. Saya fikir mereka itu pembantu rumah Filipina yang mahu menaik taraf diri mereka. Saya menjawab, “Saya tak mahu ajar Bahasa Inggeris kepada mana-mana orang Filipina!” Saya memang berkeras.

Sebenarnya, seorang budak perempuan Filipina telah nampak saya di kawasan ini dan beritahu ibunya, “Itulah ibu yang boleh buat sekolah untuk kami.” Saya sering sembang dengan ibunya apabila bertemu di jalan. Suatu hari dia datang ke rumah saya dan saya telah sedar bahawa dia ingin saya menolong anaknya. Barulah saya faham. “Oh, kamulah yang mau saya mengajar Bahasa Inggeris kepada gadis-gadis Filipina!” Tetapi sebenarnya apa yang dia mahu adalah untuk saya menyelamatkan anak-anaknya daripada buta huruf. Meskipun begitu, saya menjawab, “Tidak, saya tidak boleh buat demikian. Saya memang sangat sibuk di atas sana [di STS].”

Namun apabila saya memandang mukanya, wajahnya amat sedih. Dan saya telah mendengar satu suara yang berkata, “Bukankah anak Aku Yesus mati di kayu salib untuk mereka seperti juga untuk kamu?” Dan saya terus mendengar, “Bukankah Firman Aku berkata, ‘kasihanilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri’? Mereka ini memang sesamamu dan tinggal berdekatan kamu.” Jadi saya berkata, “Saya tidak boleh janji apa-apa, tetapi saya akan cuba tolong.” Malam berikutnya mereka datang, 8 orang kanak-kanak dan 3 orang ibu. Mereka duduk di meja makan saya dan saya telah menguji tahap pengetahuan mereka. Ada beberapa yang boleh membaca BM, tetapi pemahaman mereka kurang baik. Anak yang paling muda berumur 9 tahun dan dia langsung tidak tahu apa-apa. Dia lari ke ibunya sambil menangis, kerana dia sedar dia tidak boleh membaca. Sekarang dia seorang dewasa yang kacak dan sudah mempunyai isteri dan anak.

Q: Jadi itulah detik permulaan sekolah ini.

Ya. Ia telah berkembang dengan begitu cepat sekali. Dalam 6 bulan seterusnya, kami telah bertumbuh kepada 40 pelajar. Selepas 6 bulan lagi, terdapat 70 pelajar. Saya selalu berfikir, “Kami akan tutup sekolah ini suatu hari nanti.” Bilik ini menjadi terlalu kecil, jadi kami telah berpindah ke ruang di bawah rumah. Ruang itu pula menjadi terlalu kecil, jadi kami telah mendirikan khemah di halaman rumah. Itu pun menjadi terlalu kecil, jadi kami telah menyewa rumah No. 3 di jalan ini. Rumah itu pun menjadi terlalu kecil, jadi kami telah menyewa rumah di sebelah. Sekarang kami mempunyai 160 kanak-kanak. Tibalah satu masa di mana saya telah berfikir, “Sekolah ini tidak akan tutup. Saya sepatutnya bertabah dan teruskan sahaja.” Dan itulah yang saya buat.

Q: Wah. Adakah kamu berpendapat bahawa gereja boleh memainkan peranan dalam kerja sebegini bersama kanak-kanak migran?

Ya, memang. Dalam Alkitab memang jelas siapa yang dikasihi Tuhan. Dia mengasihi orang miskin, Dia mengasihi orang asing, Dia mengasih orang tertindas. Dari Kejadian juga sangat jelas bahawa kasihnya bukan sahaja untuk umat Israel tetapi seluruh umat manusia. Selain itu, kita perlu ingat bahawa Yesus tidak mempunyai rumah sendiri. Jadi kalau kamu seorang Kristian, ini bermakna kamu pengikut Yesus, jadi Yesuslah contoh bagi hidup kamu. Bagaimanakah cara hidupnya? Bolehkah saya hidup sebegitu? Namun dulu konsep saya tentang umat Allah lebih kurang seperti kelab.

Q: Kebanyakan daripada kita pun begini. Kita berfikir, “Inilah orang saya, mereka di sana bukan sebahagian daripada kami.”

Ya, memang berlakunya mukjizat apabila kami beralih daripada pemikiran itu dan mula untuk hidup seperti Yesus. Kita tidak boleh meneladaninya seratus peratus, kerana Dia memang luar biasa dalam segalanya. Tetapi kita boleh belajar daripada kasihnya untuk semua manusia.

Q: Adakah Ibu mempunyai kata-kata nasihat untuk orang muda and orang lebih berumur yang sedang mempertimbangkan melayani Tuhan dengan lebih berdedikasi?

Teruskan dengan hati yang berani. Orang muda di sini sering perlu mengikut keinginan ibu bapa mereka. Tetapi jika kamu berasa tertarik kepada pelayanan sepenuh masa—sama ada pelayanan tempatan atau di padang misi—tabahkanlah hati kamu untuk terus ke hadapan. Ibu bapa saya tidak pernah setuju dengan apa yang saya buat. Mereka fikir saya bodoh dan membuang nyawa saya, tetapi sebaliknya saya telah menemui kehidupan. Sayalah yang mengaut untung daripada keputusan saya 60 tahun lalu. Saya telah untung dalam segala bentuk. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah saya lakukan.

Setiap orang haruslah mendedikasikan hidupnya kepada Tuhan. Setiap orang tidak patut berdoa, “Tolong memberkati usaha saya untuk berbuat ini,” tetapi, “Tuhan, apa yang Engkau ingin saya buat?” Dia tidak mahu semua orang menjadi pastor, tetapi Dia ingin semua orang terbuka hati untuk melakukan apa yang telah Dia rencanakan. Dia mungkin berkata, “Aku ingin kau menjadi seorang peguam, untuk menegakkan keadilan.” Atau seorang guru atau doktor. Lakukanlah dengan berani. Seorang doktor mungkin berfikir, “Bagaimana saya boleh melayani orang yang miskin? Adakah saya perlu ke tempat seperti Nepal?” Tuhan akan menunjukkan kepada kamu. Dialah Tuhan yang berfirman.

Q: Amin. Ibu memang sudah mengalami banyak yang baik dan buruk dalam kehidupan dan pelayanan. Sebagai penutup, adakah Ibu mempunyai kata-kata untuk mereka yang sedang menghadapi kesukaran?

Sewaktu saya dalam kesukaran, saya harus berjalan bersama Tuhan, dan bukan berfikir sendiri sahaja. Saya lakukan apa yang perlu dengan pimpinan-Nya, tetapi hasil akhir adalah di dalam tangan-Nya. Saya selalu ingat kata-kata Dr Alan Cole kepada saya dulu, “Sylvie, Sylvie, Tuhan sudah membina masa depan kamu di atas dasar kesilapan kamu.” Saya banyak membuat kesilapan, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan saya. Dia menggunakan kesilapan saya untuk menolong orang lain. Saya sedang memberi kaunselling kepada seorang perempuan baru-baru ini dan dia telah berkongsi satu cerita dengan saya. Saya berkata, “Perkara yang sama pernah terjadi sama saya.” Dia terkejut. Tetapi saya mempunyai pemahaman tentang apa yang dia sedang harungi kerana saya pun pernah melalui perkara yang sama.

Kadangkala Tuhan membenarkan kita membuat kesilapan supaya kami belajar. Kita bukan robot, kita manusia. Saya menangis setiap kali saya merenung masa lampau yang disia-siakan, tetapi akhirnya Tuhan kita yang pengasih berkata, “Saya tahu.” Ramai orang berfikir Tuhan sentiasa memegang rotan, kerana dalam masyarakat kita prestasi amat penting. “Jika prestasi kamu buruk, saya akan membelasah kamu.” Yang sedihnya, ramai orang berfikir Tuhan pun sama. Dia bukan begitu! Dia seorang Tuhan yang pengasih, penyayang, penuh simpati dan empati. Kita seringkali diperhambakan oleh budaya dan padangan hidup kita. Tuhan boleh membebaskan kita daripada pandangan hidup kita juga.

Q: Ibu Suria, ribuan terima kasih kerana melaungkan masa kamu untuk temu ramah ini.

Terima kasih kepada kamu juga.