Api Kebangunan Rohani di Pedalaman: Temu Ramah Bersama Ibu Suria Jeanes (Bahagian 2)

Pastor Sylvia Jeanes (juga dikenali sebagai “Ibu Suria”) telah dihantar oleh Persatuan Misionaris Gereja Australia (CMS-A) ke Sabah pada tahun 1967. Beliau sudah melayani di Sabah selama 51 tahun dalam pelbagai jawatan. Dalam bahagian pertama temu ramah ini bersamanya di Pelangi Harapan (Rainbow of Hope), sekolahnya di Kota Kinabalu, beliau telah bercerita tentang zaman kanak-kanaknya, bagaimana beliau telah menjadi seorang Kristian, dan bagaimana beliau telah menyahut panggilan untuk menjadi seorang misionaris di negara asing. Dalam bahagian kedua ini, beliau berkongsi tentang pelayanannya di Tongud. Dia telah mengalami pelbagai cabaran semasa mengajar dan memimpin sekolah serta membimbing gereja-gereja sebagai pastor, tetapi juga mengalami kebangunan rohani peribadi dan menyaksikan kebangunan rohani yang tersebar ke gereja-gereja Anglikan di pedalaman.

Q: Bolehkah Ibu Suria bercerita sedikit tentang perjalanan kamu ke Tongud?

Pada 31hb Ogos 1967—iaitu Hari Merdeka—saya telah berlayar menaiki kapal api Kimanis dari Tawau ke Sandakan. Saya bersama Bisyop Koh telah naik ke atas barkas Residen di sana, tetapi apabila beliau telah menemui seorang kawannya yang mempunyai bot laju beliau telah meninggalkan saya dan pergi ke Lamag dengan kawannya. Saya berasa sedikit  gementar di atas barkas tersebut kerana saya belum fasih berbahasa Malaysia. Perasaan gementar saya berterusan sehingga kami sampai di Sukau untuk bermalam. Seorang anak kapal telah melihat telur di dalam bekas makan tengah hari saya lalu bertanya sama ada saya mau telur tersebut dimasak. Saya tidak faham apa yang dia cakap dan terus menangis! Saya juga tidak tahu apa nak buat pada malam itu. Terdapat ramai orang yang sedang mandi di sungai, jadi anak kapal itu telah bertanya sama ada sesiapa yang boleh bercakap Bahasa Inggeris. Syukurlah terdapat seorang lelaki yang fasih, dan dia telah mendengar semua pertanyaan saya. Jadi saya telah tidur di haluan bot di bawah dek tanpa dikacau oleh orang lain.

Pagi berikutnya kami terus berlayar ke Lamag dan menemui Bisyop Koh di sana. Kami berpindah terus ke dalam jongkong misi dan terus berlayar selama dua hari lagi, dengan bermalam di kem balak. Kami akhirnya sampai ke Tongud pada malam ke-4 perjalanan kami. Semua pelajar asrama serta Sister Elliott dan Miss Merryweather telah datang untuk menyambut saya dan akhirnya saya menetap di sana selama lebih daripada 20 tahun.

Q: Apakah peristiwa yang paling penting bagi kamu semasa 20 tahun kamu berada di Tongud?

Kebangunan rohani yang terjadi dari tahun 1973-1974 betul-betul telah mendatangkan banyak perubahan. Sebelum itu, walaupun sekolah dan klinik di Tongud berkembang dengan pesat, gereja di sana merosot kerana beberapa sebab. Salah satunya kerana Bisyop Koh telah memberi arahan supaya liturgi Perjamuan Kudus yang diterjemahkan oleh Revd Puntang di Sapi digunakan di Tongud. Ramai orang pada masa itu tidak sedar bahawa bahasa di dua tempat ini amat berbeza, mengakibatkan hanya beberapa orang di Tongud yang memahaminya. Oleh itu, apa yang berlaku di gereja langsung tidak relevan bagi kehidupan seharian, dan kehadiran telah merosot. Selain itu, para katekis kurang mendapat bimbingan, jadi doktrin yang salah telah diajar, contohnya bahawa roh orang Kristian yang mati akan pergi ke Gunung Kinabalu.

Saya hanya boleh bercerita tentang kebangunan rohani tersebut dari sudut persepsi peribadi. Di Tongud kami mempunyai seorang guru bernama Chin Fon Yung, yang berasal daripada keluarga Chin yang terkenal di Labuan. Dia betul-betul ingin menjadi seorang misionaris, tetapi Bisyop Koh telah berkata kepadanya, “Habiskanlah dulu perkhidmatan wajib kamu dengan kerajaan, dan kemudian saya akan mempertimbangkannya.” Dia telah habis perkhidmatannya dengan sekolah kerajaan selama lima tahun, lalu dihantar oleh Bisyop ke Tongud pada bulan Januari 1972. Semasa bulan pertamanya, Miss Merryweather masih di sana dan telah membimbingnya bagaimana menjadi pengetua. Tetapi pada 29 Julai tahun tersebut, dia telah mati lemas semasa mandi di dalam sungai. Memang tragik. Saya berada di KK pada masa itu dan berita telah sampai, “Ms Chin mati lewas.” Archdeacon Briggs dan saya telah pergi ke Labuan tengah hari itu untuk pengebumiannya. Archdeacon telah menyuruh saya untuk mengambil alih kepimpinan sekolah. Saya tidak pernah berhasrat untuk menjadi seorang pengetua sekolah! Saya lebih senang hati untuk duduk di belakang dan menjadi seorang guru biasa. Saya terlalu pemalu, terlalu pendiam. Namun demikian Tuhan telah memberi saya karunia dan saya bersedia untuk melayani.

Q: Apakah keadaan sekolah apabila kamu telah mengambil alih sebagai pengetua?

Keadaan amat murung sekali. Kesedihan kami kerana kematian pengetua kami telah meresap ke dalam roh sekolah. Saya masih ingat waktu saya berjalan pulang ke rumah suatu hari dan merenung di dalam hati saya, “Saya pasti Tuhan tidak mahu kami begini sedih sekali.” Saya telah berjumpa dengan beberapa misionaris SIB yang menetap di Lawas, dan mereka berkata, “Datanglah ke Lawas untuk bercuti.” Jadi saya telah pergi ke sana pada bulan Disember 1972.

Pada waktu itu, para misionaris telah mencari Tuhan secara peribadi, dan Tuhan telah menyentuh mereka dengan luar biasa melalui Roh Kudus. Kebangunan rohani Neo-Pentekosta pada masa tersebut sedang tersebar di seluruh dunia. Peter Young merupakan seorang misionaris CMS di Semenanjung Malaysia yang telah menubuhkan organisasi Malaysian Care. Dia telah menyertai satu konferensi di Pantai Timur bersama orang Roman Katolik (RC). Semasa beliau pulang dalam kereta bersama orang-orang RC ini, mereka telah berkongsi dengannya pengalaman mereka. Pada masa itu, Peter seperti saya—sangat murung, sangat kosong, dan sangat kering. Apabila dia pulang ke pejabatnya, dia telah berlutut dan berdoa, “O Tuhan, tolonglah berbuat sesuatu dalam hidup saya.” Dan pada detik dan tempat itu, Tuhan telah datang kepadanya, menyentuhnnya dan mengubahnya.

Dr Petrus Octavianus

Q: Wow, hebat sekali.

Ya. Saya juga di dalam keadaan yang sama. Apabila saya sampai ke Lawas, kawan saya telah berkata, “Oh, saya telah menerima satu kaset daripada Peter Young. Mau dengarnya?” “Mau,” saya jawab. Apabila saya dengar sahaja kesaksian Peter, saya telah berkata, “O Tuhan, itulah yang saya mau. Saya mau Engkau menyentuh hidup saya dan mengubah saya seperti Engkau telah buat untuk Peter Young dan paderi-paderi RC itu.” Saya sepatutnya terbang pulang ke KK pada tengah hari Sabtu itu, tetapi hujan turun dengan lebat sekali, dan kapal terbang itu tidak dapat mendarat. Jadi saya terpaksa pulang ke SIB Lawas. Tetapi itulah masa konferensi dwitahunan untuk semua pemimipin gereja di seluruh SIB: orang Kayan, orang Iban, dan juga mereka dari tanah tinggi. Tuhan sedang bergerak di antara mereka dengan cukup hebat: mengubah hidup mereka, melakukan mukjizat di antara mereka. Saya tidak merancang untuk ikut, tetapi telah ikut juga kerana saya berada di sana pada hari minggu itu. Pengkhotbah konferensi tersebut adalah Dr Petrus Octavianus dari Malang, Indonesia. Beliau telah bercakap tentang lima kebangunan rohani pada abad sebelumnya. Saya tersentuh sekali. Orang SIB sangat menjaga pengkhotbah mereka, tetapi sewaktu Dr Octavi sedang dibimbing keluar daripada kebaktian tersebut, saya terkejut apabila beliau berhenti di depan saya lalu berkata, “Hello, sister.” Saya betul-betul tersentuh.

Sewaktu sesi tengah hari, ramai orang telah datang ke pentas untuk mengakui dosa mereka. Dr Octavi telah berkata, “Namakan dosamu!” Jadi mereka terpaksa menyebut apa sebenarnya dosa mereka. Kagum betul saya menyaksikannya. Mereka juga telah membuat demikian: “Marilah kita berdoa bersama-sama dengan suara kedengaran.” Hah? Semua orang berdoa bersama-sama? Tidak berdoa menggunakan buku? Semua orang sedang berdoa di dalam BM, dan saya mendengar frasa ini berulang-ulang, “Puji Tuhan!” “Terima kasih, ya Bapa di Syurga!” Saya seperti tidak mempercayainya. Apabila saya pulang tengah hari itu, saya telah berdoa, “O Tuhan, sentuhlah saya seperti Engkau telah sentuh Peter Young, semua orang ini dari seluruh Sarawak dan seluruh Indonesia.” Oh, apa yang terjadi sungguh menakjubkan. Ia seperti Tuhan telah masuk ke dalam bilik itu dan menyentuh saya, mengubah saya begitu sahaja. [memetik jarinya] Air mata dan kegelapan saya hilang, dan sorak-sorai menjelang pagi telah datang, seperti dalam Alkitab.

Revd Dennis Bennett

Saya kemudian pulang ke KK. Saya tidak dapat berhenti memuji Tuhan dengan kata-kata, “Puji Tuhan. Terima kasih, ya Bapa.” Semasa di KK kami telah menginap dengan seorang guru jururawat. Dia berkata, “Saya tidak tahu apa yang sudah terjadi kepada Sylvia.” Rakan sekerja saya, Marianne, berkata, “Saya pun tidak tahu apa yang terjadi kepadanya.” [ketawa] Saya telah menerima beberapa buku seperti Michael Harper, Spiritual Warfare; Dennis Bennett, Nine O’Clock in the Morning—buku klasik pada zaman 70-an. Saya mula membaca buku-buku ini dengan penuh minat. Setelah saya habis buku Dennis Bennett—beliau seorang Anglikan dari Amerika Syarikat—saya berkata, “Bercakap dalam bahasa roh ini begitu biasa dan semulajadi.” Saya ingat lagi saya sedang berdoa suatu malam dalam BM, dan tiba-tiba bertukar ke dalam satu bahasa lain. Memang ajaib, saya tidak dapat memahaminya. Keesokan harinya, saya terus bercakap dalam bahasa ini, berulang-ulang. Saya berasa seperti saya berbulan madu dengan Tuhan.

Q: Wah. Bagaimana semua ini mula tersebar?

Seperti dengan SIB, kanak-kanaklah yang pertama disentuh oleh Roh Kudus. Setiap malam Ahad, kami akan mengadakan sesi menyanyi dari buku kidung lama, Ancient and Modern. Kami biasa menyanyi, dan selepas itu saya akan meminta seorang pelajar Darjah Enam untuk membawa doa penutup. Dia akan menggumam sesuatu, semua orang akan berkata, “Amin,” dan kami akan tidur. Seterusnya kami mengubah rutin ini. Saya bertanya, “Siapa mau berdoa?” Semua telah mengangkat tangan. “Okay. Marilah kita berdoa bersama-sama dengan suara kedengaran.” Wah, kanak-kanak itu berdoa dengan penuh semangat. Mereka bermula and terus berdoa. Seperti di SIB, mereka berdoa untuk guru mereka, untuk ibu bapa mereka. Pada masa tersebut kelas Alkitab kanak-kanak dijalankan di rumah saya. Saya akan berkata, “Sebelum kami belajar dari Firman Tuhan, marilah kami menyembah Tuhan.” Oh, mereka berdoa dalam bahasa masing-masing, dan kami menyanyi lagu kepada Tuhan. Memang menakjubkan. Dan selepas itu api ini tersebar ke semua orang lain di Tongud dan kawasan Kinabatangan.

Q: Luar biasa. Bagaimana keadaan gereja semasa kebangunan rohani ini?

Pada masa itu kami hanya ada [Revd] Lawrence Lawin yang menjadi paderi untuk seluruh kawasan Kinabatangan dan Labuk. Jadi Bisyop Chhoa telah memberi saya lesen sebagai Penolong kepada Kapelan, iaitu Lawrence. Saya telah bertanggungjawab atas lebih kurang 20 gereja dan sidang di sekitar Kinabatangan. Lawrence hanya datang sekali setiap tiga bulan untuk merayakan Perjamuan Kudus.  Bisyop ingin memberi saya lesen untuk merayakan Perjamuan Kudus, tetapi saya telah berkata, “Tidak, apa yang jemaat inginkan adalah pengajaran dari Firman Tuhan. Dan itulah yang akan saya beri.” Jadi setiap hari minggu, saya berkhotbah di merata tempat.

Saya juga telah menulis satu liturgi, kerana pada waktu itu kami tidak mepunyai liturgi yang boleh digunakan tanpa paderi. Saya telah baru habis Licentiate Teologi saya, termasuklah satu kursus Buku Sembahyang dengan Dr Leon Morris di Melbourne. Jadi saya berasa saya boleh menulis satu liturgi untuk kegunaan jemaat kami. Saya telah menggelarkannya “Kinabatangan Use” [ketawa] seperti istilah zaman pertengahan, “Sarum Use.” Saya telah menunjukkannya kepada para pemimpin kami, lalu menghantarnya untuk diluluskan oleh Bisyop Chhoa. Ia telah meminjam dari liturgi Perjamuan Kudus sebanyak mana yang boleh, tetapi doa-doa yang hanya boleh dilafazkan oleh paderi telah diganti dengan doa lain. Itulah yang menjadi asas Buku Biru. Sampai hari ini, kita masih menggunakannya untuk kebaktian seperti itu.

Q: Liturgi itu adalah satu campuran Perjamuan Kudus dan Sembahyang Pagi, ‘kan?

Ya, itulah itu. Kami memerlukan liturgi yang masih mempunyai keistimewaan Anglikan—dengan penglibatan jemaat, tidak seperti SIB—tetapi yang boleh digunakan oleh pemimpin gereja tanpa paderi.

Selepas itu saya telah mula menjalankan kursus Latihan Pemimpin Am yang pertama pada tahun 1974—untuk kawasan kami sahaja. Ramai di antara pesertanya kini sudah meninggal, tetapi latihan itu telah mengumpulkan pemimpin yang sebelum itu tidak pernah berjumpa. Mereka semua berkongsi di antara satu sama lain: “Bagaimanalah jemaat kamu? Apa yang berlaku di sana? Apakah masalah yang kamu alami?” Saya telah memberi kuasa kepada pemimpin ini untuk pulang dengan mesej tersebut, dan itulah yang mereka buat. Saya juga telah menulis khotbah setiap minggu dan menghantarnya kepada mereka untuk membantu mereka.

Bagi saya, halutuju ke depan adalah untuk melatih dan memberi kuasa kepada orang tempatan. Saya memang tidak boleh menjaga semua gereja dan sidang tersebut seorang diri. Pada mulanya terdapat lebih kurang 12 gereja dan sidang, dan lebih kurang 22 pada akhirnya. Selain itu, saya sentiasa sedar bahawa saya adalah orang asing dengan pemikiran yang berlainan. Orang tempatan mempunyai kefasihan dalam bahasa, sokongan orang tempatan, serta pemahaman budaya, jadi mereka memang boleh melayani dengan lebih baik!

Dalam bahagian akhir temu ramah ini, Ibu Suria berkongsi tentang pengalamannya sebagai pensyarah di Seminari Teologi Sabah, serta mendirikan sebuah pusat pembelajaran alternatif, bergelar Pelangi Harapan, untuk kanak-kanak migran yang telah kehilangan akses kepada pendidikan awam.